Reka mekanisme sanitasi tangan

Oleh Amri HTZ

Keperluan untuk menyediakan pensanitasi tangan kepada pengunjung terutama bagi para peniaga, pihak sekolah, jabatan-jabatan atau penganjur acara telah menjadi suatu kewajipan untuk mereka.

Bagi memastikan tidak terdapatnya titisan cecair badan yang boleh menyebabkan penularan virus pada botol pensanitasi tangan yang digunakan, penekan botol pensanitasi tangan automatik merupakan pilihan bijak untuk mengelakkan hal ini berlaku.

Namun mendapatkan mesin sedemikian setentunya agak mahal, oleh itu, merekanya sendiri menggunakan PVC boleh menjadi satu pilihan.

Sedia barangan

Bagi mereka mekanisme pensanitasi tangan automatik menggunakan paip PVC ini, beberapa barangan perlu disediakan seperti lapan sambungan tee PVC berdiameter 1”, enam sambungan elbow PVC berdiameter 1”, empat sambungan elbow PVC berukuran ¾”, dua male threaded adapter (MTA) berukuran 1”, paip PVC berdiameter ¾”, paip PVC berdiameter 3” dengan panjang 7” berserta satu end cap berdiameter 3”.

Langkah pembuatan

PVC berdiameter 1” yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran diperlukan bagi mereka bahagian-bahagian tertentu.

Proses pemotongan boleh menggunakan pelbagai cara sama ada menggunakan gergaji besi, mesin pemotong kayu, mesin skrol atau menggunakan pemotong khas PVC berupa pipe cutter.

Paip-paip PVC bagi struktur mekanisme pensanitasi tangan yang telah dihasilkan.
Bekas yang direka untuk menempatkan botol pensanitasi tangan menggunakan PVC berdiameter 3”.
Bahagian anak panah menunjukkan bahagian terakhir yang dicantumkan secara kekal sebagai tempat menginjak bagi menekan pam botol pensanitasi di bahagian atas.

Elakkan cara pemotongan menggunakan api (memotong menggunakan kepingan besi dipanaskan) memandangkan ia akan menghasilkan atau mengeluarkan asap yang mampu memudaratkan kesihatan jika terhidu.

Ukuran-ukuran yang diperlukan bagi mereka bahagian-bahagian tertentu adalah se-perti enam potongan paip PVC berdiameter 1” dengan ukuran 2” panjang, enam potongan PVC (1”) panjang 4”, dua batang PVC (1”) dengan panjang 28” dan sebatang PVC (1”) dengan panjang 16”.

Sementara untuk PVC berdiameter ¾”, ia akan dipotongkan dengan panjang 9” dan 36” untuk dua batang setiap ukuran. Kesemua sudut potongan yang menghasilkan permukaan kasar akan dihaluskan menggunakan kertas pasir atau pisau utiliti. Tujuannya, ketika awda menyambungkannya pada bahagian lain PVC, permukaan yang tidak sempurna akan menyukarkan proses mencantumkannya.

Setelah kesemua bahagian PVC dipotong, mulakan proses mencantumkan keseluruhan bahagian bagi membentuk kaki mekanisme pensanitasi menggunakan paip PVC berukuran 16” panjang (diameter 1”).

Pada bahagian hujung kedua-dua bahagian, ia akan dicantumkan dengan sambungan elbow berdiameter 1”.

Sapukan setiap permukaan cantuman menggunakan gam PVC sama ada jenis clear atau yang mempunyai warna. Kepelbagaian warna gam yang terdapat untuk PVC merupakan untuk kesenangan perekanya mengesan bahagian yang tidak diselaputi dengan sempurna terutamanya penting bagi sistem pengairan agar ia tidak bocor. Bagi penulis, penggunaan gam jenis clear lebih disarankan memandangkan ia mampu menghasilkan rekaan yang lebih bersih.

Cantuman sambungan elbow tadi kemudiannya akan diikuti dengan PVC berukuran 4” panjang (diameter 1”), sambungan tee (pastikan sambungan menghala ke bahagian atas), paip PVC berukuran 4” (1”), sambungan elbow (menghala ke bahagian dalam) diikuti dengan PVC berukuran 2” panjang dan sambung tee (rujuk gambar). Lakukan langkah yang sama bagi kedua-dua bahagian dengan memastikan proses mencantumkan dilakukan satu persatu kerana gam yang digunakan hanya memerlukan beberapa saat untuknya mengering.

Langkah seterusnya adalah memasangkan lebihan PVC berukuran 4” panjang pada bahagian sambungan tee (menghala ke atas) tadi. Ini diikuti dengan sambungan elbow, paip PVC berukuran 2” panjang (berdiameter 1”) dan diakhiri dengan sambungan tee dengan dua bahagian hujung yang berlubang menghala ke bahagian atas.

Untuk struktur rekaan bahagian atas, paip PVC berukuran 28” panjang (berdiameter 1”) akan digunakan di mana salah satu bahagian hujung kedua-dua paip tersebut akan dipasangkan dengan sambu-ngan tee yang telah dicantumkan dengan PVC berukuran 2” panjang pada bahagian tengah sambungan. Bahagian hujung paip yang satu lagi akan dicantumkan pula pada bahagian sambungan tee bahagian bawah struktur rekaan sebelumnya.

Rangka utama rekaan pada ketika ini hampir sempurna dicantumkan, kini hanya perlu mereka bahagian tempat menyimpan botol pensanitasi dan mekanisme penekannya. Untuk bekas menyimpan botol ini, PVC berdiameter 3” akan digunakan. Salah satu bahagian hujungnya akan ditutupkan dengan end cap dan bahagian hujung satu lagi akan dipotong dengan bentuk mencondong.

Gunakan pen penanda sebelum melakukan pemotongan bagi memastikan potongan tepat. Selain itu, tandakan bahagian tengah paip selaras dengan potongan mencondong tadi untuk menempatkan MTA. Tebuk bahagian tersebut menggunakan mata gerudi bersesuaian mengikut ukuran luaran MTA. Pada bahagian berulir, MTA akan dipendekkan dengan meninggalkan lebih kurang 8mm daripada bahagian asalnya. Cantumkan kedua-dua MTA pada bahagian yang telah ditebuk menggunakan teknik seperti sebelumnya.

Langkah seterusnya ialah mencantumkan bekas untuk botol pada bahagian utama rangka (bahagian sambungan tee dengan bahagian yang telah dicantumkan paip berukuran 2” panjang tadi). Pastikan kedudukan bekas menghala ke atas (tempat memasukkan botol) sebelum gam mengering.

Untuk bahagian penekan botol pensanitasi, cantumkan paip berukuran 36” panjang (berdiameter ¾”) dengan sambungan elbow pada salah satu bahagian hujung setiap paip. Sambungan elbow tadi kemudiannya akan dicantumkan dengan PVC berukuran 9” panjang di mana ia akan menyambungkan kedua-dua paip tadi. Sebelum mencantumkan bahagian hujung kedua-dua paip menggunakan lebihan sambungan elbow, masukkannya pada sambungan tee berdiameter 1” pada rangka utama tadi.

Langkah terakhir ialah menyambungkan sambungan elbow ¾” dan paip 9” panjang pada kedua-dua bahagian hujung paip berdiameter ¾” tadi untuk mereka tempat injakkan bagi menekan pam botol pensanitasi di bahagian atas. Untuk menjadikannya lebih menarik, warnakan bahagian luarannya dengan warna pilihan bagi menyembunyikan cetakkan yang terdapat permukaan PVC.