Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Reka potret adiwira guna simen

    Oleh Amri HTZ

    Karakter adiwira yang dipaparkan dalam buku-buku komik mahupun TV memiliki tempat tersendiri dalam diri setiap peminatnya.

    Pada kebiasaannya, selain sifat karakter yang diketengahkan, penampilan mereka juga menjadi ciri utama untuk menarik minat pemerhatinya. Pelbagai barangan dihasilkan darinya terdiri daripada baju, topeng, pelekat, poster dan sebagainya untuk dijadikan koleksi, namun bagi seseorang yang inginkan kelainan, selain barangan terhad, mereka juga menginginkan sesuatu yang tidak dihasilkan secara komersial. Dari itu, bagi mendapatkan sesuatu yang berlainan untuk karakter yang diminati, apa kata milikinya dengan cara merekanya sendiri.

    Rekaan unik perlu persediaan
    Projek ini akan mereka seni potret adiwira berbingkai menggunakan simen. Bagi mengikutinya, awda perlu menyediakan papan lapis berketebalan 1”, mesin gergaji kayu meja atau bulat (circular), paku berukuran 1 ½”, kertas pasir, pahat kayu, simen biasa (berwarna kelabu), pasir halus, simen berwarna putih, mesin pencetak, pita pengukur, pisau utiliti, gam kayu dan kayu bingkai gambar berbentuk wooden bead serta stirofoam.

    Cukup mudah dilakukan
    Papan lapis yang telah tersedia terlebih dahulu perlu dipotongkan dengan ukuran yang diperlukan menggunakan mesin gergaji meja atau bulat. Tetapkan rip fence dengan jarak 25sm untuk lebar dan 34 bagi tinggi bahagian utama rekaan. Sorong perlahan material menggunakan push stick atau push block sebagai keselamatan untuk menghindarkan risiko tangan terkena bilah pemotong jika berlakunya kickback.

    Ukuran bahagian utama rekaan ini diambil bagi memudahkan langkah pembuatan memandangkan lakaran atau potret helmet karakter Iron Man dicetak menggunakan kertas A4 yang berukuran 21sm x 29.7sm. Jika awda inginkan rekaan yang berukuran lebih besar, awda boleh mencetaknya pada kertas lebih besar atau melakarnya sendiri dengan gaya bebas.

    Stirofoam yang telah dipotongkan sebagai acuan untuk mengisikan simen pada permukaan papan lapis.
    Bahagian dalam potret topeng adiwira semasa proses mengisikan ruangan menggunakan simen berwarna putih.
    Stirofoam yang dipotongkan akan ditempatkan di ruangan khas untuknya sebelum simen boleh dituangkan.
    Ruangan yang telah ditukul dengan paku berfungsi sebagai pemegang simen agar kukuh di tempatnya.
    Kayu bingkai berbentuk wooden bead perlu dipotong dengan sudut 45 darjah bagi membolehkan ia dicantumkan menggunakan teknik mitered butt.

    Setelah memotongkannya, bersihkan permukaan sisi papan dengan kertas pasir berukuran 120 grit. Langkah ini bagi membuang permukaan kayu yang tidak sempurna atau tajam hasil daripada proses pemotongan. Perkara ini berlaku terutamanya berpunca dari bilah mesin yang tumpul mahupun menyorongkan material atau mesin (jika gergaji bulat) terlalu cepat.

    Bagi awda yang pakar dalam lukisan, langkah melakar terus bentuk helmet karakter dipilih pada permukaan stirofoam bukanlah satu masalah. Namun bagi mereka yang tidak mampu melakukannya, ambil cara mudah dengan mencetaknya menggunakan mesin pencetak dengan gambar mudah diperoleh melalui dalam talian.

    Cetakan gambar pilihan kemudiannya akan dilekatkan pada permukaan striofoam dengan keseluruhan permukaan bawahnya perlu disapukan dengan gam. Setelah gam mengering, potong striofoam untuk dijadikan stensil menggunakan pisau utiliti membahagikan bahagian luaran dan dalaman.

    Sementara untuk permukaan papan lapis, dalam memastikan simen dituangkan nanti mampu kekal pada kedudukan, paku-paku berukuran 1 ½” akan ditukul pada permukaannya dengan kedalaman ½ inci berfungsi sebagai pemegang. Tanpanya, jika simen mengering nanti, ia akan mudah tertanggal terutamanya apabila diketuk.

    Dalam memastikan kedudukan paku berada di tempatnya, awda perlu melakar helmet karakter dipilih pada permukaan papan lapis. Cara mudah dan tepat melakukannya adalah dengan menjadikan striofoam dipotong sebelumnya sebagai templat untuk melakarnya.

    Permukaan papan yang telah dilakar kemudiannya akan diisikan dengan paku dengan jarak 1sm hingga 1.5sm setiap satu. Langkah menempatkan paku akan dibahagikan kepada dua iaitu ruangan luaran helmet, mata dan mulut. Sementara langkah kedua akan menutupi keseluruhan permukaan rekaan.

    Setelah menusuk paku-paku berkenaan, lekatkan striofoam bagi bahagian luar rekaan pada permukaan papan sesuai dengan kedudukannya. Ini diikuti dengan bahagian dalamannya yang telah dipotongkan sebelumnya. Gam yang digunakan pada langkah ini berupa gam kayu bagi memastikan keseluruhan permukaan cantuman tertutup rapat dan tidak menghasilkan warna yang bertentangan dengan warna kayu ketika ia mengering nanti (bertakluk kepada jenis gam).

    Bagi memastikan striofoam yang dilekatkan tercantum rapat, letakkan objek berat di atasnya beralaskan sekeping papan lapis agar tekanan diberikan cukup rata. Biarkan gam mengering selama beberapa jam.

    Apabila gam mengering, tuangkan campuran simen ke dalam rekaan sehingga memenuhinya. Langkah menuangkan simen perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan campuran tertumpah dan mengotori permukaan lain rekaan yang setentunya menambahkan kerja untuk membersihkannya.

    Campuran simen perlu mengikut perbandingan yang telah ditetapkan oleh pengilang. Bagi simen yang digunakan dalam projek ini, perbandingan 1:1 digunakan iaitu satu bahagian simen dan satu bahagian pasir halus. Air pula dituang dan diaduk sehingga campuran sebati dan tidak terlalu cair atau pekat.

    Terlalu cair akan menyebabkan campuran tidak mengering atau mengeras sempurna dan terlalu pekat akan menyebabkan poket udara terperangkap dan sukar untuk memenuhi ruangan yang ingin diisikan. Selain itu jika terlalu pekat atau berlebihan simen, akan menyebabkan keretakan ketika ia mengering sepenuhnya nanti. Simen yang dituangkan akan dibiarkan mengering selama 24 jam sebelum membolehkan langkah seterusnya diteruskan.

    Setelah mengering, tanggalkan acuan daripada tempatnya. Jika sukar, awda juga boleh merosakkan stirofoam berkenaan memandangkan sifatnya yang amat lembut. Bersihkan permukaan kayu yang memiliki lebihan simen dan gam yang digunkan untuk melekatkan stirofoam.

    Untuk bahagian dalaman rekaan, simen berwarna putih akan digunakan untuk mengisikannya. Tujuannya adalah bagi memberikan perbezaan antara ruangan dan bahagian muka rekaan tersebut. Sama seperti langkah sebelumnya, campuran pasir, simen dan air perlulah mengikut arahan pengilang.

    Setelah mengering, lebihan simen putih yang mengenai permukaan lainnya akan dibersihkan menggunakan pahat kayu diikuti dengan kertas pasir berukuran 60 grit.

    Untuk penggunaan pahat kayu adalah lebihan simen berukuran besar manakala kertas pasir digunakan untuk meratakan keseluruhan permukaan. Ketika menggosoknya menggunakan kertas pasir, disarankan untuk membasahkan permukaan simen menggunakan air.

    Bagi membisaikan lagi rekaan, bingkai yang terbuat kayu akan dicantumkan pada keseluruhan bahagian sisi. Teknik cantuman bingkai tersebut akan menggunakan mitered butt memandangkan ia akan membuatkan kawasan cantuman tidak tapak ketara.

    Potongan dengan sudut 45 darjah diperlukan menggunakan gergaji. Selesai memotongnya, cantumkan menggunakan gam kayu pada keseluruhan sudut permukaan atas rekaan. Bagi mengekalkan kedudukannya, gunakan paku berukuran kecil ataupun kokot jenis-T dengan jarak 2sm setiap satu.

    Langkah terakhir ialah menyapukan permukaan rekaan dengan varnis. Tumpukan pada permukaan kayu jika awda menggunakan varnis manakala bagi penggunaan cat sembur jenis clear, ia boleh disemburkan pada keseluruhan permukaan rekaan. Setelah mengering, kini hanya tinggal untuk menggantungkannya pada ruangan yang dirasakan sesuai bagi menghiasinya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...