Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Reka sendiri katil si bulus

    Oleh Amri HTZ

    Melihat daripada kaca mata seorang pencinta haiwan, kebanyakan daripadanya menggangap haiwan peliharaan itu seperti ahli keluarga sendiri.

    Sesetengah mereka sanggup berhabis duit demi membahagiakan haiwan peliharaan mereka termasuk dari segi makanan, permainan, baju-bajuan dan ubat-ubatan.

    Sebagai idea tambahan, projek DIY kali ini akan memfokuskan kepada proses rekaan dua dalam satu iaitu rumah mini untuk kucing kesayangan dan juga dapat dijadikan sebagai bangku.

    Sedia lebih awal

    Mesin pemotong kayu, mesin jig, kepingan papan lapis, pensel penanda, pita pengukur, skru kayu, cat berwarna putih, cat poliuretana, berus atau span cat, kayu berbentuk bulat berukuran 1.5”, gam kayu, mesin kertas pasir, edge banding, pita perekat, stapler, mesin gerudi, alat pocket-hole jig.

    Proses pemotongan dan mencantumkan

    Bagi langkah pertama pembuatan, papan lapis yang telah tersedia akan dipotongkan dengan ukuran 42sm X 42sm untuk dua keping yang akan dijadikan bahagian atas dan bawah struktur kotak, 36sm X42sm (dua keping) yang akan dijadikan bahagian sisi dan belakang kotak sementara ukuran 37smX 32sm akan dijadikan dinding bahagian dalam (depan dan sisi) kotak.

    Ukur dan tandakan permukaan sebelum memulakan proses pemotongan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan. – Agensi
    Langkah mencantumkan papan lapis pada bahagian bawah kotak. – Agensi
    Proses mencantumkan struktur kotak menggunakan gam kayu dan skru dari bahagian dalam agar tampak kemas. – Agensi
    Proses mendapatkan kedudukan tengah kayu kaki kotak sebelum dicantumkan dibahagian bawah kotak. – Agensi
    Mesin jig digunakan untuk memotong ruangan pintu kotak. – Agensi

    Jika awda menggunakan mesin gulat (circular saw) untuk memotongkannya, pastikan awda menggunakan alat berbentuk lurus dan panjang sebagai panduan mata mesin menetapkan kedudukan ketika proses pemotongan.

    Sementara bagi yang menggunakan mesin pemotong kayu meja, tetapkan rip rence dari bila pemotong dengan kedudukan yang diperlukan.

    Ketika memotong, pastikan papan lapis tersebut dalam kedudukan rata di mana kesemua permukaan bawah papan bersentuhan dengan permukaan meja. Jika tidak rata, sudut potongan 90 darjah sukar diperoleh.

    Setelah memotongkannya, dua keping papan berukuran 37smX 32sm akan dipotongkan lagi untuk mereka ruangan keluar masuk kucing nanti. Bentuk separa bulatan yang panjang akan direka, jadi mesin jig diperlukan untuk memotongkan bentuk tersebut. Mula-mula tandakan bahagian tengah papan (permukaan dengan lebar 32sm) untuk mendapatkan kedudukan ruangan pintu keluar masuk tersebut.

    Ini diikuti dengan menandakan ukuran 24sm (jumlah lebar pintu) dan panjang 27sm. Pada bahagian berbentuk separa bulatan, gunakan objek berbentuk bulat sebagai panduan untuk mereka bentuk tersebut dengan tepat.

    Selesai menandakan ukuran pintu tersebut, potong kedua-dua keping papan lapis berukuran sama menggunakan mesin jig dengan berhati-hati.

    Gunakan mata mesin jig yang baik bagi mengelakkan ia melengkung ketika proses pemotongan di mana ini akan menjejaskan hasil akhir rekaan.

    Selain penggunaan mesin jig, mesin gergaji pita (bandsaw) merupakan pilihan dan melaksanakan tugas lebih baik jika awda memilikinya.

    Setelah memotongkannya, permukaan luaran kedua-dua papan lapis tersebut akan disapukan atau sembur dengan car berwarna putih. Warna yang digunakan bukanlah satu kemestian tetapi satu pilihan. Namun, pilihlah warna yang bersesuaian dengan tema sesebuah ruangan mahupun minat tersendiri.

    Sekurang-kurangnya dua lapisan cat diperlukan dengan memberikan masa bagi setiap lapisan mengering sebelum memberikan lapisan seterusnya.

    Langkah seterusnya ialah mencantumkan keseluruhan bahagian (potongan papan lapis) untuk mereka sebuah struktur kotak atau rumah untuk kucing kesayangan. Mulakan dengan mencantumkan bahagian atas, sisi kiri dan belakang kotak menggunakan skru.

    Terlebih dahulu, pastikan permukaan cantuman disapukan dengan gam kayu bagi memastikan keseluruhan cantuman benar-benar kukuh dan mampu menampung beban seseorang ketika duduk di atasnya.

    Bagi awda yang inginkan cantuman yang lebih sempurna, gunakan alat pocket-hole jig daripada bahagian dalam sebelum membolehkan awda mengetatkan skru. Ini diikuti dengan papan untuk bahagian ruangan pintu kotak dan diakhiri dengan papan lapis bahagian bawah kotak.

    Kayu berbentuk bulat yang disediakan akan dipotongkan sepanjang 3sm untuk empat bahagian. Ia kemudiannya akan dijadikan kaki kotak yang ditempatkan pada bahagian bawah. Namun awda terlebih dahulu perlu menandakan kedudukan tengah kayu sebelum mencantumkannya menggunakan skru.

    Sebagai tambahan, bagi awda yang ingin menempatkan tempat meletakkan mangkuk makanan dan minuman untuk kucing, awda boleh memotongkan sekeping papan lapis berukuran 35sm X 15sm dengan bahagian tengah ditebuk sesuai ukuran mangkuk makanan untuk menetapkan kedudukannya.

    Namun dinasihatkan untuk tidak meletakkan mangkuk yang terlalu besar kerana ini akan menjadikan ruangan dalam kotak tersebut menjadi kecil.

    Melindungi permukaan kayu menggunakan poliuretana amat disarankan agar sebarang kelembapan tidak akan diserap oleh kayu. Ini penting terutamanya ketika awda membersihkan permukaan luar mahupun dalam kotak selain jika mangkuk berisi air tertumpah pada ruangan dalam kotak.

    Dengan meletakkan alas sesuai dengan ukuran ruangan dalam kotak tersebut, kini awda hanya perlu memujuk haiwan kesayangan untuk berehat di dalamnya.

    Jika sukar, gunakan makanan kesukaannya sebagai ‘umpan’ untuknya mengenali ruangan baharu yang telah direka dengan titik peluh awda sendiri. Selain boleh digunakan untuk haiwan kesayangan, ia juga boleh menjadi bangku mini untuk awda bersantai duduk di atasnya sambil menemaninya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...