Saturday, November 2, 2024
34.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka stand tripod khusus untuk vise

    Oleh Amri HTZ –

    Memiliki peralatan bersesuaian untuk menyempurnakan sesebuah projek rekaan amat penting dalam memastikan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh masa ditetapkan.

    Di samping peralatan utama, alat tambahan seperti vise juga sering diperlukan terutama dalam mengekalkan kedudukan sesebuah material yang dikerjakan. Selain menetapkan pada meja kerja, tempat letak mudah alih turut menjadi pilihan yang memudahkan ia untuk dipindah sesuai dengan keperluan.

    Oleh itu bagi mendapatkan tempat letak vise mudah alih berbentuk tripod, projek ini akan membawa awda menelusuri langkah-langkah pembuatannya daripada besi.

    Sedia barangan diperlukan

    Mesin angle grinder
    Paip
    Plat besi 3/8 inci
    Besi pejal 1 inci dan ½ inci
    Mesin gerudi
    Mesin kimpal
    Pen penanda
    Pita pengukur
    Cat besi

    POTONG BESI GUNA ANGLE GRINDER

    Besi-besi tersedia terlebih dahulu disukat dan ditandakan sebelum dipotong. Paip berdiameter 6 inci berketebalan ¼ inci akan dipotongkan dengan panjang 22 inci.

    Sementara besi pejal berdiameter 1 inci pula dipotong dengan panjang 14 inci manakala besi berdia-meter ½ inci dengan panjang 8 inci. (Gambar 2)

    Gambar 1. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 2. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 3. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 4. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 5. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 6. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 7. – Gambar oleh Seamster
    Gmabar 8. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 9. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 10. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 11. – Gambar oleh Seamster
    Gambar 12. – Gambar oleh Seamster

    Manakala plat besi untuk kedudukan alat vise pula akan diukur dan ditandakan dengan cara meletakkan bahagian bawah vise pada permukaan besi. Setelah itu, bentuknya akan dipotong menggunakan angle grinder diikuti dengan menebuk kedudukan lubang alat vise menggunakan mesin drill press. (Gambar 3)

    TANDAKAN SUDUT POTONGAN

    Bagi menentukan kedudukan sudut potongan besi pejal untuk kaki tripod vise, ia memerlukan awda menandakan kedudukannya pada permukaan meja kerja. Mulakan dengan meletakkan paip bahagian tengah rekaan pada meja kerja diikuti dengan besi untuk kaki rekaan. Setelah itu tandakan bahagian luaran besi kaki rekaan menggunakan pen penanda. (Gambar 4)

    Setelah melakarkan kedudukan kaki rekaan pada permukaan meja kerja, kini awda hanya perlu meletakkan besi untuk kaki meja dan menandakan sudut potongan yang diperlukan.

    Langkah ini bagi memastikan ia stabil ketika ia didirikan. (Gambar 5)

    Apabila bentuk sudut sudah didapatkan, potong besi berkenaan menggunakan angle grinder atau mesin bandsaw dengan bilah khusus besi. Jika awda menggunakan
    mesin angle grinder, pastikan material ditetapkan pada vise sebagi langkah keselamatan. (Gambar 6)

    KIMPAL UNTUK MENCANTUMKAN

    Besi yang telah dipotongkan kemudiannya akan dikimpal untuk mencantumkannya menjadi satu. Gunakan lakaran pada permukaan meja kerja sebagai panduan untuk kedudukannya semasa proses mengimpalnya. (Gambar 7)

    Langkah ini diikuti dengan mengimpal struktur kaki kepada besi bahagian tengah rekaan.

    Memandangkan kaki rekaan terdiri daripada tiga bahagian, ini memerlukan awda membahagikan kedudukannya dengan jarak yang sama rata bagi memastikannya seimbang. Selain itu permukaan besi di mana ia akan dikimpal perlu dibersihkan dalam memastikan kimpalan kukuh. (Gambar 8)

    ELAK TEKNIK TACK WELD

    Ketika mencantumkan kaki rekaan pada besi bahagian tengah, elakkan menggunakan teknik tack weld. Kimpal keseluruhan permukaan cantuman bagi memastikan tripod untuk vise tersebut mampu menampung sesuatu material yang berat mahupun impak daripada langkah mengetuknya. (Gambar 9)

    Sebelum membolehkan awda mengimpal plat besi (bahagian bawah vise) yang dipotongkan sebelumnya, dua keping plat berketebalan sama akan dipotongkan untuk dikimpal pada bahagian atas besi tengah sebagai penyokong.

    Bentuk heksagon sengaja dipilih bagi memberikan ruang untuk lubang bolt dan nat vise ditempatkan nanti. (Gambar 10)

    Ini diikuti dengan mengimpal plat bahagian bawah vise pada plat heksagon sebelumnya. Pastikan awda tidak menghalang lubang yang telah ditebuk untuk mengekalkan kedudukan vise. (Gambar 11)

    Bagi langkah terakhir, dalam memastikan kaki rekaan tidak terlalu berbahaya (bahagian hujung yang menajam), sesendal daripada lebihan besi plat akan dipotong dan dikimpal pada bahagian hujungnya. Untuk itu lakar bentuk bulatan menggunakan kompas dan potong menggunakan angle grinder. Dengan langkah terakhir ini, awda kini boleh membersihkan keseluruhan permukaan rekaan kemudian mengecatnya. (Gambar 12)

    Tip rekaan

    Kesemua permukaan rekaan perlu dibersihkan daripada sebarang karat untuk memastikan cat yang disemburkan melekat sepenuhnya.

    Untuk memastikan tripod tidak mudah bergerak, bahagian paip berlubang boleh diisikan dengan potongan besi dan konkrit untuk memberatkannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda