Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Rekaan acuan berbentuk daun keladi

    Oleh Amri HTZ

    Kewujudan pelbagai tumbuhan di alam semula jadi merupakan satu anugerah daripada Yang Maha Esa bagi para hambaNya mengambil manfaat dan menikmatinya.

    Keindahan yang terdapat pada bermacam-macam tumbuhan juga sering kali dijadikan sebagai perhiasan untuk menghias halaman rumah. Percaya atau tidak, selain sebagai perhiasan, tumbuhan juga boleh dijadikan sebagai alat untuk menghasilkan seni bagi seorang yang kreatif untuk memanfaatkannya.

    Projek rekaan daripada daun

    Dalam mengambil manfaat daripada tumbuhan, kali ini projek rekaan akan menggunakan daun sebagai acuan untuk menghasilkan rekaan. Mangkuk berbentuk daun alami daripada daun keladi untuk meletakkan barangan kecil di dalamnya akan direka oleh itu, awda perlu menyediakan barangan seperti simen kornis, daun berbentuk lebar dan kecil, mangkuk dengan tinggi lebih kurang 9sm, berus cat, air, bekas untuk mencampurkan simen kornis, cat akrilik atau cat air, pita sambungan kornis, peralatan mengukir (sculpting), pisau utiliti, minyak makan dan alas kerja bagi mengelak kekotoran ruangan.

    Langkahnya cukup mudah tetapi perlu persediaan rapi

    Sebelum memulakan langkah pembuatan, daun-daun tumbuhan yang telah dipilih terlebih dahulu perlu dibersihkan menggunakan air. Tujuan utamanya adalah bagi memastikan tidak terdapat objek asing terdiri daripada kayu, rumput, serangga dan sebagainya yang setentunya akan nampak ketika bahan yang digunakan mengering. Selain itu, jika bojek tersebut tertanam di dalam bahan yang digunakan,
    ia akan sukar untuk dikeluarkan daripadanya.

    Setelah membersihkan daun pilihan, letakkannya pada permukaan bawah mangkuk batu atau besi yang telah disediakan dengan mulut mangkuk menghadap pada permukaan meja (dalam keadaan terbalik). Ketinggian mangkuk yang digunakan di sini begitu memainkan peranan bagi hasil akhir rekaan di mana ia beraksi sebagai acuan.

    Daun yang diletakkan pada permukaan bawah mangkuk (menghadap ke bawah) bagi mendapatkan bentuk diinginkan sebelum simen kornis diletakkan.
    Setelah simen kornis mengeras, daun yang digunakan akan dikopek daripadanya.
    Bagi permukaan yang kurang sempurna, awda boleh memperbaikinya dengan menutupinya menggunakan simen kornis.
    Daun-daun berukuran kecil juga digunakan bagi menghiasi rekaan utama.
    Proses mewarnakan permukaan rekaan menggunakan berus jenis span.

     

    Berfungsi sebagai acuan yang dimaksudkan di sini, seperti diketahui daun mempunyai sifat yang lembut terutamanya daun yang digunakan pada projek ini (daun spesies keladi).

    Melihat kepada sifatnya yang lembut, adalah sukar untuk mengekalkan bentuknya seperti yang diinginkan dan dengan bantuan mangkuk sebagai acuan mengekalkan kedudukan, ia membolehkan awda untuk melakukannya.

    Sebelum meletakkan daun dengan bahagian atasnya menghadap pada bahagian bawah mangkuk, bahagian bawah daun akan terlebih dahulu disapukan dengan minyak makan baharu.

    Sapu sedikit dengan menitikkannya pada sehelai kertas tisu yang kemudiannya akan disapu perlahan pada permukaan belakang daun agar tidak merosakkannya.

    Dalam mencampurkan simen kornis, sediakan bekas untuk mengacau simen kornis dengan memastikan bekas yang digunakan mempunyai permukaan yang rata dan licin.

    Hal ini dilakukan agar simen kornis yang dikacau nanti tidak merekat pada permukaannya.

    Teknik mencampurkan simen kornis dengan air bukanlah sesuatu yang sukar untuk dikuasai. Mulakan dengan menuangkan serbuk simen ke dalam bekas menggunakan bekas kecil seperti cawan plastik untuk melakukannya. Lebih kurang tiga cawan serbuk simen perlu dituangkan ke dalam bekas sebelum mencampurkannya dengan air. Setelah itu, campurkan air ke dalam simen kornis dan kacau sehingga sebati di mana tidak terdapat lagi serbuk yang dalam keadaan kering.

    Bagi memastikan campuran air dan serbuk simen betul-betul sempurna, gunakan alat mengukir (pilih alat dengan bahagian hujung bersesuaian) untuk mengangkat sedikit campuran dan perhatikan lelehan simen. Jika ia menetes daripada alat, ini bermakna campuran terlalu banyak air.

    Sementara jika terlihat pada luaran campuran yang berketul-ketul dan kasar, ia menandakan kekurangan air. Manakala campuran yang sempurna boleh dilihat daripada luaran simen yang tidak terlalu berketul-ketul dan ketika diangkat menggunakan alat pengukir, ia akan kekal pada permukaan alat tersebut (melekat).

    Setelah mendapatkan campuran sempurna, sapukannya pada permukaan belakang daun yang telah tersedia. Sapu dengan ketebalan kira-kira 10mm bagi memastikan rekaan kukuh dan sebagai tambahan bagi memastikan ia benar-benar kukuh, letakkan pita penyambung kornis yang terbuat daripada gentian pada lapisan tengah simen kornis.

    Namun perlu diingat bahawa tempoh mengering simen kornis adalah sangat cepat berbanding simen untuk konkrit. Ini kerana ia digunakan untuk mencantumkan kornis pada permukaan dinding dan ia memerlukan simen yang cepat mengering agar tempoh mengekalkan kedudukan yang biasanya dilakukan dengan cara memegangnya tidak terlalu lama.

    Lakukan langkah yang sama pada daun-daun bersaiz kecil, cuma kali ini tanpa penggunaan mangkuk sebagai acuan. Biarkan simen kronis benar-benar mengering lebih kurang beberapa jam sebelum beralih ke langkah mewarnakan permukaannya.

    Apabila simen mengering, tanggalkan daun daripada permukaan simen dengan hanya menggunakan jari.

    Jika terdapat permukaan yang kurnag sempurna, awda boleh memperbaikinya dengan cara menampalkannya dengan simen dan alat pengukir yang bersesuaian.

    Mewarnakan permukaan rekaan menggunakan cat jenis air atau minyak memerlukan awda menggunakan berus yang cukup lembut bagi memberikan hasil akhir yang terbaik. Selain penggunaan cat jenis berus, jika berkemahiran dalam penggunaan airbrush merupakan satu kelebihan di mana permukaan yang diwarnakan dengan peralihan warna akan tampak lebih natural berbanding cat berus. Dengan rekaan yang telah disiapkan, kini ia sudah boleh diisikan dengan pelbagai barangan serpti kunci, cincin malahan boleh menempatkan peranti mudah alih!

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...