Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Rekaan unik curi perhatian ramai

    Oleh Amri HTZ

    Rekaan yang terhasil daripada barangan yang mungkin tidak bernilai pada awalnya kepada sesuatu yang berharga sememangnya akan menarik perhatian ramai.

    Perkara ini boleh jadi dengan cara memanfaatkan barangan terpakai atau terbuang bagi mereka sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Kesungguhan dan kreativiti amat diperlukan dalam menghasilkan sesuatu rekaan selain panduan yang betul bagi melaksanakannya.

    Barangan yang diperlukan

    Dalam projek ini, rekaan perhiasan diri berupa gelang daripada lebihan rantai basikal akan digunakan bersma dengan tali kulit.

    Untuk merekanya, awda memerlukan rantai motosikal atau basikal terpakai, alat center punch, alat breaker rantai khusus, mesin angle grinder, blow torch, tukul, vise, minyak enjin terpakai atau air, bekas menempatkan minyak atau air, playar, kulit (leather) dalam bentuk tali, penyahgris (degreaser) dan gam cepat kering (super glue) bagi menjayakan projek ini.

    Langkah pembuatan

    Dalam projek ini, penggunaan rantai motosikal atau basikal terpakai adalah disarankan bagi memanfaatkan barangan terbuang. Tetapi jika awda ingin menggunakan sesuatu yang masih baru terutama lebihan rantai yang tidak digunakan setelah proses penyukatan dan pemotongan (terdapat rantai yang terlalu panjang dan perlu disesuaikan dengan yang digunakan) merupakan salah satu pilihan.

    Salah satu teknik mengeluarkan pin rantai menggunakan centre punch.
    Membakar chain link menggunakan blow torch bagi memberikan warna menghitam.
    Salah satu bahagian hujung chain link akan dipotong bagi mereka ruang khusus menyangkutkan gelang.
    Chain link yang telah dibakar akan diredam ke dalam bekas berisi air atau minyak enjin terpakai.

    Rantai terpakai yang digunakan terlebih dahulu akan dibersihkan dengan penyahgris agar kerja yang dilakukan lebih mudah dan jelas terutamanya bahagian pin rantai yang tertutup oleh minyak.

    Masukkan rantai yang akan digunakan pada bekas untuk menyembur penyahgris pada permukaannya. Dengan melakukan ini, ruangan kerja akan lebih terkawal dan bebas daripada kotoran terhasil darinya.

    Selain menggunakan penyahgris dalam bentuk semburan, penggunaan benzin juga boleh melakukan hal yang sama namun ia memerlukan awda untuk merendamkan rantai tersebut seketika dan memberus permukaannya bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Selain berus pelbagai guna, penggunaan berus gigi terpakai juga boleh dilakukan sekali gus menjimatkan kos rekaan.

    Setelah rantai dibersihkan dan dikeringkan, awda kini boleh menempatkan rantai tersebut pada alat breaker rantai dengan memastikan pin berada tepat pada dua lubang pin.

    Terdapat dua permukaan untuk bahagian pin di sini di mana satu daripadanya mempunyai permukaan membulat yang timbul (pin link tersambung dengan plat) manakala satu lagi permukaan di mana pin sebenar dikekalkan dengan plat sambungan.

    Setelah mengenalpastinya, tetapkan rantai pada alat tersebut dan putar tobol sehingga pin terlepas.

    Sementara cara lain untuk melepaskan pin rantai jika tidak mempunyai alat khusus adalah dengan cara mengetuknya menggunakan centre punch pada permukaan yang sama. Ini memerlukan awda menetapkan rantai pada jaws alat vise dan arahkan bahagian hujung center punch pada permukaan lubang pin.

    Ketuk secara seimbang (kedua-dua lubang) sehingga pin terkeluar dari bahagian bawah.

    Jika center punch juga tidak dimiliki, awda juga boleh membuang permukaan membulat pin rantai tersebut menggunakan mesin angle grinder.

    Dengan menetapkan rantai tersebut pada bahagian jaws vise yang digunakan, pastikan permukaan pin menghadap ke atas bagi memudahkan awda membuang permukaan tersebut.

    Angle grinder berukuran biasa walaupun boleh melakukan tugas yang diperlukan, namun jika awda memiliki mesin berukuran lebih kecil seperti Dremel adalah sesuatu yang lebih baik.

    Lebih kurang lapan kepingan chain link diperlukan untuk mereka satu gelang dan ini tertakluk kepada ukuran tangan awda.

    Setiap kepingan chain link tersebut akan dijadikan berwana hitam dengan cara membakarnya menggunakan blow torch dan dibiarkan sejuk pada suhu bilik.

    Selain cara yang dinyatakan, awda juga boleh merendamkannya ketika ia masih dalam keadaan panas selepas dibakar menggunakan blow torch ke dalam bekas berisi air atau minyak enjin terpakai.

    Bagi penulis, merendamkannya ke dalam minyak terpakai memberikan hasil akhir yang lebih baik selain besi rantai tersebut juga terlindung lebih sedikit daripada karat berbanding dua cara lain yang dinyatakan.

    Bagi awda yang menggunakan teknik merendamkan ke dalam minyak terpakai, sebelum melakukan langkah seterusnya ia memerlukan awda untuk membersihkannya dengan kain bersih atau menyemburkannya menggunakan alkohol pencuci.

    Tali kulit yang tersedia akan dimasukkan dengan chain link satu persatu namun terlebih dahulu salah satu bahagian hujungnya akan ditempatkan chain link secara kekal dengan cara mengamkan tali kulit tersebut.

    Permukaan tali yang hendak digamkan perlulah bersih dan bebas daripada minyak agar mampu bertahan lama.

    Setelah menetapkan chain link tersebut, kini awda boleh memasukkan satu persatu chain link pada lubang-lubangnya.

    Bagi bahagian terakhir chainlink untuk bahagian hujung tali kulit, akan dilakukan hal yang sama seperti sebelumnya namun memerlukan awda melakukan langkah terakhir untuknya sebelum menetapkannya pada bahagian hujung tali.

    Salah satu permukaan berlubang chain link di bahagian tengahnya akan dibuatkan ruangan dengan cara memotongnya menggunakan angle grinder. Langkah mereka ruangan ini adalah bagi membolehkan awda menyangkutkannya pada bahagian hujung chain link satu lagi sebelum gelang boleh digunakan.

    Selesai memotongkannya, gam tali kulit seperti langkah sebelumnya.

    Dengan rekaan unik menggunakan peralatan yang begitu mudah dimiliki, sememangnya mencabar kreativiti dan kebolehan diri sendiri dan awda telah berjaya mengatasinya dan ini terbukti dengan rekaan yang telah dihasilkan.

    Menggunakannya ketika keluar dari rumah dan bertemu teman, mengongsikan pengalaman untuk merekanya setentunya suatu topik yang boleh mengeratkan silaturahim sesama mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...