SINGAPURA – Nampaknya penunggang motosikal Malaysia bukan sahaja mempunyai rekod yang buruk di tanah air tetapi mereka juga banyak terlibat dalam kemalangan di negara jiran, Singapura. Ini berdasarkan perangkaan penunggang motosikal yang maut atau cedera seperti disiarkan oleh akhbar The Sunday Times baru-baru ini.
Menurut laporan itu, lebih 40 peratus mangsa kemalangan yang dibawa ke bilik kecemasan hospital di republik itu adalah penunggang motosikal Malaysia. Tabiat buruk penunggang motosikal Malaysia sememangnya sudah lama diperkatakan dan nampaknya ada yang membawa budaya jalan raya yang mengaibkan itu ke seberang Tambak!
Akhbar The Sunday Times menyiarkan perangkaan yang diperoleh daripada Hospital Khoo Teck Puat Hospital, antaranya rekod yang menunjukkan 865 penunggang motosikal yang cedera parah antara 2011 dan 2015. “Secara keseluruhannya 42 peratus daripada penunggang motosikal yang cedera parah itu adalah rakyat Malaysia,” perunding pakar bedah, Dr Caroline Simon dipetik sebagai berkata.
Akhbar harian itu juga menyebut National University Hospital (NUH) merawat 417 penunggang motosikal serta pembonceng termasuk rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan daripada sederhana kepada parah dari Januari 2014 hinggta Oktober 2016.
Kecederaan yang dialami penunggang motosikal di jalan raya Singapura termasuk pendarahan otak, retak tulang serta pelbagai retak tulang rusuk. Akhbar itu juga mendedahkan punca kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal Malaysia.

“Dengan kelajuan yang tinggi, penunggang motosikal Malaysia memandu secara berbahaya serta mencelah-celah antara kenderaan yang lain. “Mereka juga menunggang laju di bahu jalan,” kata akhbar itu. Macam pernah dengar bukan sikap buruk penunggang motosikal Malaysia ini!
Peningkatan yang tinggi
Bilangan tinggi penunggang motosikal Malaysia yang terlibat dalam kes kemalangan juga kerana ramainya rakyat Malaysia yang menungang motosikal ke Singapura setiap hari.
Menurut Dr Caroline, dianggarkan 40,000 penunggang motosikal memasuki Singapura setiap hari. Beliau berkata anggaran separuh atau 53.8 peratus kemalangan melibatkan penunggang motosikal Malaysia berlaku selepas waktu pejabat, antara pukul 6.00 petang dan 8.00 pagi.
Bagaimanapun, persoalannya mengapa akhbar ini memberi tumpuan kepada penunggang motosikal Malaysia sedangkan mangsa kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal Singapura adalah lebih tinggi?
Bahan berita
Penunggang Malaysia menjadi bahan berita kerana beberapa kes kemalangan maut yang berlaku dari Oktober hingga Disember 2016. Pada 1 Dis, laporan itu menyebut rakyat Malaysia Ng Boon Kong, 51, terbunuh dalam perlanggaran dengan trak di Woodlands.
Lapan hari sebelum kemalangan itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Loh Fook Siong, 42, maut dalam insiden yang berlaku berhampiran Jalan Buroh. Saksi yang melihat kemalangan itu berkata Loh menunggang motosikalnya antara dua kenderaan berat sebelum menemui ajalnya.

Meskipun kematian melibatkan penunggang motosikal Malaysia bukan melibatkan jumlah yang besar tetapi angka kecederaan yang diperoleh akhbat itu memang tinggi.
Faham situasi keadaan
“Penunggang motosikal Malaysia perlu faham keadaan jalan raya di sini adalah berbeza kerana Singapura sebuah bandar bukan pekan kecil,” kata Bernard Tay, pengerusi Majlis Keselamatan Jalanraya Singapura. Menurut beliau, kegagalan untuk mematuhi peraturan jalan raya dalam keadaan trafik yang bergerak pantas boleh membahayakan keselamatan penunggang motosikal Malaysia juga pengguna jalan raya yang lain.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya akibat melanggar permukaan jalan, hadangan jalan atau kenderaan lain,” kata Dr Jackson Jiang, perunding bersekutu, jabatan pembedahan tangan, Singapore General Hospital dipetik sebagai berkata.
Akhbar The Sunday Times melaporkan di samping memberi kesedaran kepentingan keselamatan jalan raya kepada penunggang motosikal, pemandu kenderaan juga perlu dihukum sekirangnya memandu secara berbahaya.
Berhati-hati
Penulis ingin juga menyarankan supaya rakyat Malaysia perlu berhati-hati apabila berada di jalan raya di Singapura. Ada banyak kes melibatkan rakyat Malaysia yang cedera akibat kecuaian pemandu tempatan.
Satu contoh ialah kemalangan di Ayer Rajah Expressway (AYE) pada 19 Dis, 2016 di mana pasangan Malaysia tercampak daripada motosikal mereka selepas sebuah kereta Mercedes yang dipandu melawan arus melanggar mereka. Kereta yang sama melanggar beberapa kenderaan lain dan menyebabkan kematian seorang daripada pemandu sementara empat yang lain cedera.
Klip video kereta Mercedes melanggar motosikal itu menjadi viral dalam Talian. Antara 28 Dis hingga 7 Jan, terdapat tujuh insiden pemandu kereta memandu melawan arus dan keadaan ini pada pandangan penulis amat membimbangkan. – Bernama