Rekod kematian berkaitan pekerjaan membimbangkan

Oleh Ak Zaki Kasharan & James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Sejumlah 56 kematian yang berkaitan dengan pekerjaan dalam tempoh enam tahun terakhir di Negara Brunei Darussalam direkodkan, iaitu 10 kali lebih tinggi berbanding Eropah dan lima kali berbanding Singapura.

Pada tahun ini pula, terdapat lima kematian yang berkaitan dengan pekerjaan berbanding pada tahun 2018 yang mencatatkan lapan kematian terdiri daripada lima dalam industri pembinaan, dua dalam industri minyak dan gas dan satu lagi dalam industri lain.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Inspektor Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA), Jamie Rebelo dalam Ceramah Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bertajuk Better Safe than Sorry – the Shena Story yang berlangsung di Dewan Betabur Kementerian Pembangunan, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Memetik statistik yang didedahkan, beliau menambah bahawa SHENA telah menjalankan lebih daripada 205 pemeriksaan dan apa yang menjadi kebimbangan utama adalah enam kemalangan utama dan 56 kematian sejak tahun 2013.

“Kami telah menguatkuasakan 16 arahan pemberhentian dalam pelbagai industri dan 20 lagi arahan pembaikan semula,” tambahnya.

Jamie Rebelo semasa menyampaikan ceramah pada acara berkenaan. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

Dihadiri oleh seramai 150 orang peserta yang sebahagian besarnya merupakan ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) serta para pegawai kerajaan dan swasta, Jamie Rebelo juga antara lain membicarakan mengenai amalan terbaik dalam memacu kesihatan keselamatan dan alam sekitar (HSE) yang mampan.

Perbincangan berkenaan meliputi pelbagai subjek yang berkaitan dengan topik utama; termasuk pengenalan kepada SHENA, perundangan dan kepentingannya dalam industri pembinaan, Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, peraturan pembinaan, serta penjelasan tentang mengapa pematuhan dijangka daripada industri.

Ditubuhkan di bawah Perintah Pihak Berkuasa Kebangsaan Kesihatan dan Alam Sekitar Keselamatan, 2018, SHENA merupakan badan berkanun yang mengawal selia dan menguatkuasakan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar di tempat kerja serta perkara radiasi di negara ini.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada para penceramah yang disampaikan oleh ahli dan mantan Presiden PUJA Brunei, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas.

Acara julung kali yang dikendalikan oleh PUJA dengan SHENA yang turut disokong oleh Kementerian Pembangunan berkenaan bertujuan untuk mempromosikan kesedaran tentang HSE dan peraturan pembinaan, serta pentingnya mematuhi perundangan dalam industri.