Rekod tanpa tewas Bayern lebur di tangan Hoffenheim

BERLIN, 28 SEPT – Juara Eropah, Bayern Munich tewas buat kali pertama selepas 10 bulan apabila rekod 23 perlawanan tanpa kalah lebur setelah tewas mengejut 4-1 di Bundesliga di tangan Hoffenheim kelmarin.

Hoffenheim meledak dua gol untuk meletakkan kedudukan mereka di hadapan dengan jaringan awal minit oleh pemain pertahanan Ermin Bicakcic dan penyerang Munas Dabbur.

Meskipun Joshua Kimmich memberikan Bayern sedikit semangat sebelum tamat separuh masa pertama, penyerang kebangsaan Croatia, Andrej Kramaric menyumbat gol pada separuh masa kedua dan menyempurnakan sepakan penalti pada akhir minit perlawanan.

Kemenangan mengejut tersebut telah meletakkan Hoffenheim di puncak liga sementara juara bertahan Bayern berada di posisi ke-7 selepas dua perlawanan.

Ini merupakan kali pertama Bayern Munich tewas di bawah kendalian Hansi Flick dalam semua kejohanan sejak tewas 2-1 di tangan Borussia Moenchengladbach pada 7 Disember 2019.

Aksi pemain pertahanan Hoffenheim, Ermin Bicakcic menjaringkan gol pembukaan untuk meletakkan pasukannya di hadapan ketika menentang Bayern Munich. – AP

“Pujian harus diberikan kepada Hoffenheim, mereka menutup ruang dan tidak memberikan peluang kepada kami,” kata Flick, yang melenting apabila dikatakan pasukannya tampak lesu.

“Kami tidak dapat merebut peluang kami atau bermain dengan intensiti seperti kebiasaan.”

Jurulatih Hoffenheim, Sebastian Hoeness yang merupakan anak buah kepada presiden Bayern, Uli Hoeness dan meninggalkan pasukan simpanan Bayern pada Julai untuk mengambil alih tugasan di Hoffenheim.

“Kami berlatih segala-galanya yang telah kami usahakan, kami mendominasi dari awal perlawanan, sentiasa berbahaya dan bertahan dengan baik, jadi saya tidak terkejut dengan keputusan ini,” kata jurulatih Hoffenheim, Hoeness.

Bayern kelihatan lesu, selepas bermain sehingga masa tambahan dalam perlawanan Piala Super UEFA pada Khamis lalu sebelum menewaskan Sevilla 2-1 di Budapest.

“Kami harus ingat bahawa Bayern bermain 120 minit empat hari yang lalu, tetapi kami menunjukkan persembahan yang hebat,” tambah Hoeness. – AFP