Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Negara Brunei Darussalam mencatatkan rekod tertinggi baharu, dengan jumlah 96 kes hari ini dan satu kluster baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 946 orang.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada sidang media situasi terkini jangkitan yang diadakan di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, mengongsikan pertambahan kes-kes baharu itu adalah daripada kluster-kluster aktif iaitu 22 kes bagi Kluster Champion 7 and Related Vessels; 16 kes bagi Kluster Chung Hua KB; lapan kes bagi Kluster BSP HQ (Block M); enam kes bagi Kluster Dragonboat; dua kes bagi Kluster ABCi; dua kes bagi Kluster Aker; dua kes bagi Kluster IBTE KB; satu kes bagi Kluster 477; satu kes bagi Kluster Imigresen; dan satu kes bagi Kluster Starlodge.
Selain itu, terdapat satu kluster baharu telah dikesan iaitu tiga kes baharu pada hari ini telah dikaitkan dengan Kes 674 yang dilaporkan pada 15 Ogos 2021. Kluster tersebut sekarang dikenali sebagai Kluster Lorong Tengah.
“Manakala, terdapat 30 kes yang masih belum diketahui sumber jangkitannya,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
“Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” katanya.
Beliau turut menekankan pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan menjalani kuarantin mandatori dan ujian RTPCR SARS-CoV-2.
Dalam pada itu, lima disahkan sembuh, menjadikan kes sembuh kepada 338 orang. Ini bermakna terdapat 605 kes aktif telah direkodkan di negara ini.
“Dalam kalangan kes aktif, tiga dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan dan 10 lagi kes di bawah pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan,” ujar Yang Berhormat Dato.
Menurut beliau lagi, daripada 13 kes tersebut, hanya seorang sahaja yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap.
“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,748 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 182,168 ujian,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.