Reliance batal pelaburan Saudi Aramco AS$15b

MUMBAI, 21 NOV – Syarikat gergasi minyak dan telekom India Reliance telah membatalkan perjanjian bernilai AS$15 bilion untuk Saudi Aramco membeli saham 20 peratus dalam unit penapisan minyaknya, kata syarikat, ketika firma itu beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

Perjanjian itu diumumkan lebih dua tahun lalu oleh pengerusi Reliance Mukesh Ambani, lelaki terkaya Asia, dan dianggap sebagai pelaburan asing terbesar dalam sejarah konglomerat.

Namun Reliance dan firma utama lain India telah mencurah berbilion dolar dalam tenaga hijau ketika negara berusaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import dan tatkala bandar negara itu dibelenggu pencemaran.

Saudi Aramco ialah syarikat pengeluaran minyak terbesar dunia dan bersaing dengan Apple untuk menjadi firma paling bernilai di planet.

Ambani pada Jun tahun ini berjanji akan melabur AS$10 bilion dalam tenaga boleh diperbaharui dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Reliance berkata dalam kenyataan memandangkan portfolio perniagaannya yang ‘berubah,’ kedua-dua pihak telah ‘memutuskan adalah bermanfaat untuk kedua-dua syarikat menilai semula pelaburan yang disarankan.’

Ia sedang menarik balik permohonan perundangan yang akan membuka laluan kepada Saudi Aramco untuk memperoleh saham dalam divisyen minyaknya, tambah firma.

Unit termasuk perniagaan penapisan, petrokimia dan pemasaran minyak, termasuk kilang penapis Jamnagar di Gujarat.

Reliance baru-baru ini mengumumkan ia akan membina empat ‘kilang gergasi’ di Jamnagar untuk mengeluarkan panel solar, bateri simpanan dan produk berkaitan hidrogen untuk menubuhkan salah satu kilang penghasilan tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia. – AFP