Reliance beli saham farmasi dalam talian India

MUMBAI, 19 OGOS – Syarikat konglomerat India Reliance telah membeli saham majoriti dalam farmasi dalam talian Netmeds, dengan harga AS$83 juta, membuka jalan baharu dalam persaingannya dengan Amazon yang melancarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serupa minggu lalu.

Reliance, yang dimiliki oleh jutawan kaya di Asia, Mukesh Ambani, telah bersaing dengan syarikat teknologi gergasi AS dan Flipkart yang disokong oleh Walmart untuk memperoleh sebahagian besar pasaran e-dagang yang menguntungkan di negara itu.

Syarikat India itu mengumumkan pelaburan tersebut kelmarin, dengan anak perempuan Ambani, Isha, pengarah anak syarikat Reliance, RRVL, mengatakan langkah itu akan memperluas perdagangan digitalnya untuk merangkumi kebanyakan keperluan penting harian pengguna.

Ketika kes COVID-19 di India mencecah melebihi 2.7 juta, yang ketiga tertinggi di belakang Amerika Syarikat dan Brazil, firma penjagaan kesihatan melihat permintaan besar terhadap perkhidmatan tersebut akibat pandemik.

Reliance mengatakan pelaburan itu mewakili kira-kira 60 peratus saham dalam Vitalic Health Pvt Ltd dan 100 peratus pemilikan langsung anak syarikatnya, secara kolektif dikenali sebagai Netmeds. Netmeds mempunyai 5.7 juta pelanggan di seluruh India, yang membolehkan mereka memesan ubat preskripsi dan tanpa preskripsi doktor serta suplemen kesihatan melalui laman web dan aplikasinya.

“Kami kagum dengan perjalanan Netmeds untuk membangunkan francais digital di seluruh negara dalam waktu yang singkat dan yakin dapat mempercepatnya dengan pelaburan dan perkongsian kami,” tambah Isha Ambani. – AFP