Reliance jual AS$15 bilion saham kepada Aramco

MUMBAI, 12 OGOS – Ketua Reliance India berkata hari ini ia telah bersetuju untuk menjual 20 peratus saham dalam unit kilang penapisan minyak dan kimianya kepada Saudi Aramco dalam satu perjanjian bernilai AS$15 bilion.

“Ia adalah pelaburan asing terbesar dalam sejarah Reliance dan juga antara pelaburan asing terbesar di India,” kata lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Mumbai.

Perjanjian awal berdasarkan penilaian sebanyak AS$75 bilion bagi bahagian minyak kepada kimia (O2C) Reliance yang mengandungi kilang penapisan, petrokimia dan perniagaan pemasaran minyak bagi firma India, menurut kenyataan Reliance. Persetujuan itu juga termasuk Saudi Aramco membekalkan 500,000 tong minyak sehari kepada kilang penapisan Jamnagar Reliance, terbesar di dunia, yang setakat ini telah memproses kira-kira dua bilion tong minyak mentah Saudi.

“Ini menandakan sinergi sempurna antara pengeluar minyak terbesar di dunia dan kompleks kilang penapisan dan petrokimia bersepadu terbesar di dunia,” kata Ambani kepada pemegang saham Reliance.

“Kini kami telah mentransformasikan hubungan lama dua dekad kami, berdasarkan kepercayaan bersama, menjadi rakan kongsi yang berpotensi berkembang selama bertahun-tahun lamanya,” ujarnya. – AFP

Mukesh Ambani tiba bagi Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 Reliance Industries Limited di Mumbai, India pada 12 Ogos. – AP