Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja 15 tahun miliki perniagaan sendiri

    PETALING JAYA, 10 Mac – Pada usia 15 tahun, Ku Myra Madihah Ku Hasmadi sudah mempunyai perniagaan menjual herba yang ditanamnya sendiri.

    Sejak memulakan syarikatnya, JustHerbs September tahun lepas, beliau sudah menjual pokok herba di dalam pasu dan polibeg pelbagai saiz bernilai RM800 dan yakin perniagaannya akan berkembang maju.

    “Ramai orang melihat iklan saya di media sosial dan kebanyakan pelanggan saya berkata mereka gembira dengan produk dan tip yang saya berikan tentang penanaman herba. Saya percaya mereka akan memberitahu orang ramai mengenai saya,” katanya.

    Ku Myra Madihah merupakan pelajar di Sekolah Antarabangsa Seven Skies di Kota Damansara yang mana sukatan pelajarannya merangkumi pembangunan perniagaan.

    JustHerbs merupakan projeknya di bawah program keusahawanan, bagaimanapun beliau sudah lama menanam herba sebelum bersekolah di situ kerana keluarganya gemar menanam tumbuh-tumbuhan.

    Ku Myra Madihah Ku Hasmadi sudah memiliki perniagaan menjual herba yang ditanamnya sendiri. – Bernama
    Ku Myra Madihah Ku Hasmadi sudah memiliki perniagaan menjual herba yang ditanamnya sendiri. – Bernama

    “Saya mula menanam pokok sejak berumur empat tahun dengan bantuan ibu dan nenek,” kata anak kepada Ku Hasmadi Ku Mamat, 43, seorang pengawal kewangan di sebuah syarikat multinasional dan Marina Abdullah Sani, 44, seorang doktor kerajaan.

    Ku Myra Madihah menawarkan 13 herba termasuk kunyit, pudina, daun limau purut, kucai Cina dan aloe vera, yang bebas racun perosak dan boleh digunakan untuk tujuan masakan dan perubatan. Setiap satunya dijual dengan harga bermula RM3 hingga RM10. Anak sulung daripada dua beradik perempuan itu berkata beliau turut memberikan tip mengenai teknik siraman dan lokasi sesuai untuk menempatkan tanaman itu.

    Beliau berharap dapat menggalakkan lebih ramai penduduk di Lembah Klang khususnya di Kuala Lumpur untuk menanam pokok kerana langkah itu akan menjadikan alam sekitar lebih hijau.

    Mata pelajaran yang diajar di Seven Skies sama seperti di sekolah lain kecuali tumpuan terhadap subjek pembangunan perniagaan. Mempelajari al-Quran juga ditekankan di sekolah yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris itu.

    Ku Myra Madihah berkata program keusahawanan yang dilancarkan pada 2014 itu mengajar beliau mengenai membuat keputusan dan bagaimana untuk memasarkan produknya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda