Remaja antara suspek dicekup BKN

Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seorang suspek bawah umur yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah antara yang ditangkap dalam serbuan membabitkan dua buah keluarga yang dijalankan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) ke atas tiga buah rumah di Kampung Saba pada 29 Julai lalu.

BKN dalam kenyataannya hari ini menyatakan dalam operasi ke atas rumah terbabit yang dipercayai mempunyai rangkaian pengedaran dan aktiviti penyalahgunaan dadah, telah menahan seramai 12 orang iaitu sembilan lelaki dan tiga perempuan yang berumur dalam lingkungan 16 ke 57 tahun yang mana sembilan daripadanya adalah penduduk tempatan manakala selebihnya penduduk tetap.

Hasil daripada serbuan dan juga pemeriksaan ke semua kediaman terbabit telah menemui beberapa paket plastik berisi pecahan dan ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu, dadah Kelas A, melebihi 17 gram yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi $3,000.

Antara barangan lain yang dirampas ialah alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, timbangan digital, straw dan paket-paket plastik kosong serta telefon bimbit yang mana kesemuanya dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.

Turut dirampas adalah beberapa harta benda yang lain termasuk sejumlah wang tunai dianggarkan melebihi $5,000, barang kemas, peralatan elektronik dan dua kenderaan milik suspek yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Ketulan hablur dipercayai syabu dan barangan kemas antara yang dirampas semasa serbuan di Kampung Saba pada 29 Julai lalu.

Salah sebuah dari dua kenderaan milik suspek yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah turut dirampas.

Bagi siasatan selanjutnya, seorang suspek akan disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman maksimum 20 penjara dan 15 sebatan.

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya.

Seorang suspek di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk mengambil dadah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya.

Seorang suspek di bawah Seksyen 9 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memberikan kebenaran bagi premis yang dimiliki digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan dadah yang boleh membawa hukuman minimum dua tahun penjara atau denda sebanyak $4,000 atau kedua-duanya dan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda $40,000 atau kedua-duanya.

Manakala, tujuh suspek di bawah Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah APD, Penggal 27 dan tiga suspek di bawah Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Hasil Jenayah 2012 atas kesalahan pembersihan wang haram yang boleh membawa denda tidak melebihi $500,000 dan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, BKN mengingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah APD Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

Aktiviti-aktiviti pengedaran dadah adalah punca utama kerosakan masyarakat serta keharmonian keluarga.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau email [email protected]