Remaja baling budak lelaki dihukum 30 Jun

LONDON, 25 JUN – Hukuman remaja Britain yang membaling budak lelaki Perancis berusia enam tahun dari tingkat 10 galeri seni Tate Modern di sini, akan diketahui Selasa ini.

Jonty Bravery, 18, mengaku salah atas pertuduhan cuba membunuh mangsa di platform pemandangan di tarikan pelancongan terletak berhampiran Sungai Thames.

Ketika kejadian pada 4 Ogos tahun lalu itu, tertuduh melakukan perbuatan berkenaan di depan pelancong lain yang menjerit ketakutan.

Budak berkenaan yang mengunjungi London bersama keluarganya patah tulang belakang, kaki dan tangan selepas terjatuh ke tingkat lima bangunan berkenaan.

Pendakwaan berkata mangsa bernasib baik terselamat tetapi berdasarkan laman web kutipan derma diasaskan oleh keluarganya, budak itu masih belum boleh makan, bercakap atau berjalan dengan sempurna.

Ketika perbicaraan, peguam tertuduh berhujah bahawa anak guamnya yang ketika itu berusia 17 tahun adalah autistik dan mengalami sindrom kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD) serta mungkin, kecelaruan identiti.

Bravery dilihat berlegar-legar di platform berkenaan sebelum menolak budak itu.

Dia kemudian memberitahu salah seorang kakitangan bangunan itu, ”Saya fikir sudah membunuh seseorang. Saya baru membaling seseorang dari balkoni.” – AFP