Remaja cuba tikam askar ditembak mati

BAITULMAQDIS, 26 JAN – Seorang lelaki Palestin bersenjatakan pisau yang cuba menikam tentera Israel berhampiran Nablus di Tebing Barat ditembak mati hari ini, kata tentera Israel dan kementerian kesihatan Palestin.

Dalam satu kenyataan, tentera di pos tentera Tebing Barat ‘terserempak dengan seorang penyerang yang cuba menikam dua orang askar.’

“Salah seorang tentera cuba menghalang serangan penyerang dan komander tentera, yang berada di tempat kejadian, melepaskan tembakan ke arah penyerang.”

Kenyataan menambah tentera Israel tidak mengalami sebarang kecederaan atau kematian, sementara jurucakap tentera memberitahu AFP penyerang telah terbunuh.

Kementerian kesihatan Palestin mengesahkan ‘seorang rakyat’ telah ditembak mati oleh ‘tentera pendudukan.’

Agensi berita Palestin Wafa menamakan remaja berkenaan sebagai Atta Rayyan, 17, dari Qarawat Bani Hassan, sebuah bandar bersebelahan persimpangan Gitai Avisar, di mana serangan berlaku. – AFP

Tentera Israel mengerumuni mayat remaja Palestin yang ditembak mati dalam serangan pisau di persimpangan Gitai Avisar, Tebing Barat kelmarin. – AFP