Remaja dibunuh, anak dalam kandungan dicuri

CHICAGO, 17 Mei – Polis di Chicago mendakwa tiga orang semalam berhubung dengan pembunuhan seorang remaja hamil di mana anak damitnya yang belum lahir diambil daripada rahimnya selepas kematiannya.

Polis berkata Marlen Ochoa-Lopez, 19, diumpan ke rumah seseorang yang dikenalinya pada 23 April dengan janji akan menerima bekalan anak damit percuma, sebaliknya dicekik hingga mati, dan anak damitnya dikeluarkan daripada rahimnya.

Clarisa Figueroa, 46, dan anak perempuannya Desire, 24, telah didakwa dengan pembunuhan darjah pertama.

Piotr Bobak, 40, yang digambarkan oleh polis sebagai teman lelaki Clarisa, didakwa cuba menyembunyikan pembunuhan.

Pada satu persidangan akhbar, ketua polis Chicago Eddie Johnson menggelar jenayah sebagai ‘menjijikkan dan membimbangkan.’

Dikelilingi oleh ahli keluarga dan penyokong, bapa Marlen Ochoa-Lopez, Arnulfo Ochoa, bercakap kepada wartawan di luar pejabat pemeriksa perubatan Daerah Cook selepas mengenal pasti mayat anak perempuannya kelmarin di Chicago. – AP

“Saya tidak dapat berpura-pura membayangkan apa yang sedang diharungi oleh keluarga berkenaan sekarang. Mereka sepatutnya merai kelahiran seorang anak damit lelaki. Sebaliknya, mereka sedang berkabung kehilangan ibu dan kemungkinan anak damit berkenaan,” kata Johnson.

Polis mendakwa menemui mayat Ochoa-Lopez tersembunyi dalam tong sampah ketika satu waran menggeledah dilakukan di rumah Figueroa pada malam Selasa.

“Jelasnya Ochoa telah membeli barangan anak damit lain daripada Clarisa, maka mereka saling mengenali,” kata penolong ketua Brendan Deenihan.

Pada hari Ochoa-Lopez hi-lang, Figueroa didakwa bercakap dengannya menerusi Facebook.

Remaja yang hamil sembilan bulan itu pergi ke rumah Figueroa untuk mengambil beberapa baju anak damit dan barangan sumbangan lain, kata polis. – AFP