SYDNEY, 2 OKT – Seorang remaja Australia didakwa berhubung kematian 20 ekor kanggaru, yang dipercayai dia sengaja melanggar menggunakan traknya dalam siri pembunuhan yang berlanjutan selama sejam.
Bangkai kanggaru, termasuk dua ekor anak haiwan itu, ditemui bergelimpangan di jalan raya Tura Beach, 450km selatan Sydney, pagi Ahad lalu.
Kira-kira tiga lagi anak kanggaru menjadi ‘yatim’ susulan serangan berkenaan, menurut kumpulan penyelamat hidupan liar, WIRES.
Polis berkata hari ini, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan dan didakwa dengan kesalahan menzalimi haiwan, semalam. Dia didakwa melanggar dan membunuh haiwan itu dengan kenderaan pelbagai guna lewat malam Sabtu lalu.
“Kami memandang serius kejadian itu dan sesiapa yang melakukan perbuatan itu akan berdepan undang-undang,” kata ketua inspektor Bega Valley, Peter Volf. – AFP


































