NEW DELHI, 1 Mei – Tiga orang remaja terbunuh ketika mengambil gambar swafoto di landasan kereta api di India, negara yang dikatakan oleh penyelidik mempunyai rekod kematian yang paling teruk berkaitan swafoto.
Pemuda keempat berjaya melompat ke tempat selamat sebelum kemalangan di bandar Panipat di utara negeri Haryana, beritahu seorang pegawai polis kepada AFP hari ini.
“Mangsa sedang sibuk mengambil gambar swafoto dan apabila mereka melihat kereta api sedang menghampiri, mereka melompat ke landasan kedua tanpa menyedari sebuah kereta api lain sedang menuju ke arah mereka,” beritahu M.S. Dabas kepada AFP.
“Salah seorang di antara mereka berjaya menyelamatkan diri ketika dia melompat ke landasan sebelah.”
Kumpulan itu telah datang ke Panipat untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Dua di antara mereka yang terbunuh berusia 19 tahun dan yang ketiga berusia 18 tahun.
Pakar mengingatkan bahawa remaja yang obses dengan media sosial sanggup bersusah payah demi menyiar gambar swafoto yang dilihat sebagai nekad dan berisiko.
Satu kajian yang dijalankan pada tahun lalu oleh penyelidik daripada Institut Sains Perubatan Seluruh India berkata 259 orang di seluruh dunia telah terkorban ketika mengambil gambar swafoto di antara tahun 2011 dan 2017. – AFP