Remaja Jepun sebar budaya ‘purikura’

TOKYO – Dua pelajar perempuan Jepun menghabiskan masa berjam-jam bersolek di depan cermin panjang, bersedia untuk mendapatkan gambar terbaik.

Namun mereka bukan berswafoto menggunakan telefon pintar mereka, sebaliknya mereka menggunakan petak gambar (photo booth) ‘purikura’.

Petak gambar gaya lama telah mencatat kepulangan di beberapa kawasan di dunia dalam beberapa tahun ini, disebabkan nilai nostalgia mereka dalam era telefon pintar. Namun purikura – singkatan sebutan Bahasa Jepun untuk ‘kelab cetakan’ – menawarkan lebih daripada sekeping gambar pasport.

Memaparkan pelbagai sentuhan moden, penambahan serta hiasan, ianya masih amat popular 25 tahun selepas diperkenalkan di Jepun, terutamanya dengan gadis remaja dan wanita muda yang terpikat dengan ‘kawaii’ atau hasil wajah mereka yang comel.

Meskipun menerima persaingan daripada telefon pintar dan aplikasi pengemasan yang amat canggih, sekurang-kurangnya sebuah firma Jepun telah mengambil kesempatan ke atas tarikan purikura dan mengeluarkan satu model baharu tahun ini.

Pelajar remaja bergambar di sebuah petak gambar Jepun yang dikenali sebagai ‘purikura’ di Tokyo. – AFP
Remaja mengedit gambar mereka di petak gambar ‘purikura’ di Tokyo. – AFP
Pelajar memaparkan gambar bercetak yang diambil oleh mereka di petak gambar ‘purikura’ di Tokyo. – AFP

Nonoka Yamada, 17, telah menjadi peminat purikura hampir selama satu dekad dan memberitahu AFP beliau dan kawan-kawannya menggunakannya beberapa kali seminggu.

“Semua pelajar perempuan dalam kelas saya mengambil purikura,” katanya ketika beliau bersedia untuk mengambil gambarnya di sebuah gedung membeli-belah di daerah Shibuya di Tokyo.

“Kali pertama saya menggunakan petak gambar berkenaan adalah apabila saya berusia lapan tahun, dan kanta kamera adalah terlalu tinggi, maka saya terpaksa berdiri secara berjengket.

Purikura menawarkan lebih daripada swafoto telefon pintar, tambahnya.

“Ia membenarkan anda menjadikan diri anda comel, anda boleh mengubah wajah anda,” katanya.

“Saya mahu memuat naik gambar-gambar di Instagram…gambarnya berkualiti dengan cahaya yang sungguh menarik.”

Purikura pertama merupakan idea firma Jepun Atlus, yang melancarkan produk tersebut bersama rakan kongsi Sega pada Julai 1995.

Petak gambar berkenaan dengan segera menjadi amat popular di arked permainan Jepun, di mana barisan panjang pelajar perempuan menunggu untuk menangkap gambar mereka sekali gus menukar arked yang sebelum ini lazimnya dikunjungi pelanggan lelaki.

Syarikat lain juga mengikuti jejak langkah memasuki pasaran, di mana pada tahun 1997 bernilai lebih AS$950 juta setahun.

Namun era swafoto memberikan kesannya, dengan pengguna berupaya mengambil dan memperkemas serta mengubah suai semula gambar secara percuma dengan telefon mereka, dan bukannya membayar kira-kira 400 yen untuk satu lembaran yang biasanya mempunyai kira-kira 16 gambar.

Beberapa pengeluar gagal bertahan, sementara yang lain meninggalkan perniagaan purikura untuk melancarkan usahasama yang lebih menguntungkan.

Hari ini, hanya sebuah firma yang masih kekal: Furyu, bekas sekutu syarikat elektronik Jepun Omron.

“Pada tahun 1997, kami melancarkan mesin pertama kami menggunakan teknologi Omron, yang menawarkan wajah karikatur. Usaha kami berakhir dengan kegagalan,” akui jurucakap Furyu Yuki Hikita.

“Ia tiada kaitan dengan apa yang dikehendaki oleh gadis remaja, mungkin disebabkan ia dibangunkan oleh lelaki pertengahan umur.”

Syarikat itu mula berunding dengan pelanggan secara langsung dan menyumbang ketahanannya dengan keupayaannya untuk memfokus dalam gambar yang diambil.

Dalam beberapa tahun ini, pasaran telah menjadi stabil, dengan kira-kira 10,000 purikura didirikan di seluruh negara – merosot daripada 50,000 pada masa kemuncak pada 1997.

Sementara petak gambar kurang tersebar meluas sekarang, mereka tetap popular – satu aplikasi telefon Furyu untuk menerima gambar purikura mempunyai 19 juta pengguna berdaftar pada Mac. Yuka Kubo, penyelidik bebas yang mengkaji fenomena purikura, telah menjejaki bagaimana petak gambar telah berubah sejak dari dulu hingga sekarang.

Model awal hanya memaparkan birai hias menarik di sekeliling gambar, dengan alat pengemaskinian pertama terhad diperkenalkan sekitar tahun 1998.

Teknologi pengecaman wajah yang dilancarkan pada tahun 2003 membenarkan ciri-ciri khusus diubahsuai, terutamanya mata.

“Ia adalah permulaan fesyen untuk mata besar,” kata Kubo, merujuk kepada ciri-ciri popular memberikan pelanggan renungan mata besar mirip watak anime.

“Ia memulakan persaingan di antara pengeluar, didorong oleh permintaan dari budak perempuan, berhubung siapa yang boleh menawarkan mata paling besar,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, pilihan pengemasan telah menjadi lebih canggih, menawarkan pelbagai warna untuk memberikan kulit yang cantik ataupun badan yang lebih langsing.

Sementara telefon pintar dan aplikasi menawarkan ciri-ciri pengemasan terkini, Hikita berkata masih terdapatnya ruang untuk purikura berkembang.

“Untuk mengambil gambar swafoto yang baik dengan telefon, anda memerlukan sedikit kemahiran,” menurut beliau. Dengan purikura, ‘segala-galanya adalah automatik, dengan peralatan dan lampu profesional, sama seperti sebuah studio gambar.”

Pandemik koronavirus telah mendorong langkah-langkah baharu dilaksanakan untuk menjamin keselamatan pelanggan, termasuk disinfektan disediakan di setiap petak, namun ia masih tidak menghalang peminat daripada mengunjungi petak berkenaan.

“Pelanggan telah pun kembali, lebih cepat daripada kami jangkakan,” kata Hikita.

Dan dalam petanda tentang tarikan yang tidak pernah luput dalam sektor itu, Sega mengumumkan pada bulan ini bahawa ia akan memperkenalkan satu versi baharu pada akhir tahun ini, lebih dua dekad sejak ia melancarkan model pertamanya, dengan matlamat untuk menyebar ‘budaya purikura.’ – AFP