Remaja kulit hitam AS dibunuh polis

WASHINGTON, 3 SEPT – Polis menembak mati seorang lelaki Afrika-Amerika berusia 18 tahun di ibu negara Amerika Syarikat (AS), Washington, semalam, yang disifatkan sebagai insiden terbaharu pembunuhan penduduk kulit hitam oleh pihak berkuasa yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara sebelum ini.

Remaja itu dilaporkan ditembak di bahagian tenggara bandar itu ketika pegawai polis membuat pemeriksaan lanjut selepas mendapat maklumat bahawa terdapat senjata disembunyikan di dalam kenderaan dinaikinya.

Ketua Polis Washington, Peter Newsham berkata sebaik sahaja pihak berkuasa menghampiri kenderaan itu, beberapa penumpang bertindak melarikan diri sebelum salah seorang pegawai melepaskan tembakan.

“Kami dimaklumkan mengenai apa yang dipercayai seorang lelaki dewasa dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, pegawai polis kemudiannya menemui dua senjata yang digambarkannya sebagai ‘lokasi jenayah.’

Ahli Majlis Tempatan, Trayon White memberitahu saluran berita, WUSA9 bahawa beliau sudah menemui ibu kepada mangsa yang mati di Washington itu.

“Kita melihat insiden ini berlaku banyak kali di Amerika dan kini ia terjadi di tempat kita sendiri.

“Saya sendiri bercakap dengan ibunya selama kira-kira 15 minit lalu dan kita ingin tahu apa yang berlaku melalui rakaman kamera di badan polis, sama ada dia benar-benar melarikan diri dan mengapa dia ditembak.

“Ini kerana ada orang yang mengatakan bahawa dia ditembak di bahagian depan, dan ada juga yang kata di bahagian belakang,” katanya kepada portal berita DCist. – AFP