Remaja lafaz Dua Kalimah Syahadah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seorang anak anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.

Dengan pengislaman berkenaan, Nickson @Tong Kuo Ang, 18, yang berbangsa Cina kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Nur Aqil bin Abdul Hadi Tong.

Hadir menyaksikan pengislaman tersebut ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan lafaz syahadah yang dipimpin oleh pegawai dari Unit Pengislaman dan Bimbingan Saudara Baru, Pusat Dakwah Islamiah.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh tetamu kehormat dan tetamu khas yang hadir kepada saudara baharu serta laungan dikir marhaban dan taburan bunga rampai.

Nickson @ Tong Kuo Ang semasa melafazkan Dua Kalimah Syahadah.