Remaja lelaki mangsa terbaharu serangan buaya di Sarawak

KUCHING, 26 JULAI – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang keluar mencari siput di sungai bersama ibu saudara dan dua lagi rakannya menjadi mangsa terbaharu serangan buaya di Sarawak dalam tempoh tiga hari.

Dalam kejadian pagi ini, mangsa dikenali sebagai Ricky Ganya telah disambar buaya ketika sedang mencari siput di sebatang sungai di Rumah Dadat, Tanjung Manis di Mukah.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak menerima panggilan kecemasan berkenaan insiden itu pada 11.28 pagi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis dikerah ke lokasi.

Kejadian itu menyusuli insiden pada Jumaat lepas apabila seorang lelaki dilaporkan disambar seekor buaya di Sungai Seduku, anak sungai Batang Lupar dekat Rumah Panjang Tuntun, Sri Aman.

Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat masih gagal mengesan mangsa. Kong Gindi, 47, dipercayai disambar buaya ketika dia dan rakannya dikenali Saji Thomas, 52, sedang mencuci perahu di sungai berkenaan. – Bernama