Remaja Palestin cipta robot guna alat mudah

GAZA – Mohammed al-Halaq, seorang remaja Palestin dari Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, telah membuat banyak peranti elektronik dan robot menggunakan alat mudah tersedia di rumah.

Remaja berusia 14 tahun itu memberitahu Xinhua dia mula membuat peranti elektronik ketika berusia tujuh tahun dan dia pernah membuka mainan yang dikuasakan oleh bateri. Mainan pertama yang dibuatnya sendiri ialah kereta kayu berkuasa bateri.

“Saya membuat keputusan untuk membuat kereta lumba yang mempunyai tiga tingkat sahaja… Jadi saya menggunakan kayu untuk membina badan kereta manakala menghasilkan generatornya dengan menghubungkan papan elektronik dengan bateri,” katanya.

Remaja itu menghabiskan kira-kira empat hari membuat mainan pertamanya, dan mendapat pujian daripada keluarga dan guru dengan pencapaian sedemikian.

Ibu bapanya mula menggalakkan dia dalam hobi itu dan menyediakannya ruang di mana dia boleh mencipta peranti kecil. Gurunya menggalakkan dia mencipta satu lagi mainan menggunakan bahan termasuk kayu, kotak karton, papan foam dan plastik.

Mohammed al-Halaq menghasilkan banyak peranti elektronik dan robot menggunakan alat mudah tersedia di rumah. – Xinhua
Mohammed al-Halaq kelihatan membina ciptaannya di rumahnya di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – Xinhua
Kelihatan Mohammed al-Halaq mencuba ciptaannya. – Xinhua

Dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran, dia melayari laman sesawang khusus dan video YouTube, belajar membuat peranti elektronik.

Dia berjaya membuat peti sejuk kecil dengan papan foam yang mengandungi penyejuk yang diperbuat daripada kapasitor yang dikuasakan oleh bateri. Ia juga termasuk papan elektronik luaran yang menunjukkan suhu dalam peti sejuk.

“Sesiapa sahaja boleh menggunakannya di dalam keretanya sendiri, apabila dia mahu pergi ke laut atau ke pejabat,” kata remaja itu. “Anda boleh menyimpan botol minuman, roti atau coklat.”

Namun, inspirasi beliau tidak terhenti di situ. Dia bermimpi untuk membuat robot yang akan digunakan untuk membantu manusia. Tanpa pengalaman atau sokongan kewangan, dia menyertai pasukan organisasi bukan berasaskan keuntungan, Persatuan Budaya dan Pemikiran Bebas, yang membantu kanak-kanak kreatif dengan ciptaan mereka sendiri.

Selepas menghadiri beberapa siri bengkel, al-Halaq berjaya membuat robot pertamanya yang membantu orang kurang upaya penglihatan dan pendengaran berjalan sendiri tanpa rasa takut melanggar halangan.

“Robot seperti sebuah kereta kecil yang mengandungi panel elektronik dengan sensor, dan ia berfungsi menggunakan bateri dan alat kawalan jauh. Sebaik sahaja orang yang menggunakannya menghampiri dinding atau sebarang halangan di jalan raya, kereta itu membunyikan penggera, dan alat kawalan jauh bergetar di tangan pengguna.”

Ahmed al-Saqqa, pengarah jabatan makmal saintifik di institusi itu, berkata organi-sasinya memutuskan untuk menaja kanak-kanak paling kreatif di Gaza, dengan harapan Semenanjung akan mempunyai lebih banyak pencipta pada masa hadapan. Jamal al-Halaq, bapa Mohammed, berkata walaupun keselamatan dan ketidakstabilan politik di Gaza, keluarga itu bertekad untuk membantu anak-anak mengembangkan kebolehan mereka bagi mencipta masa depan yang lebih baik. – Xinhua