Remaja Palestin mati ditembak

RAMALLAH, 17 JUN – Tindakan tentera Israel melepaskan tembakan ketika pertempuran meletus di Tebing Barat telah mengakibatkan seorang remaja Palestin maut.

Perkara tersebut disahkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin.

Mangsa, Ahmed Zahi Dawoud, 16, ditembak di kepala semalam, dalam kejadian yang berlaku dekat kampung Beita, berhampiran Nablus. Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Nablus untuk menerima rawatan.

Semalam, tentera Israel berkata bahawa seorang anggotanya melepaskan tembakan setelah melihat puluhan rakyat Palestin menghampiri tentera, ketika mereka sedang berkawal di selatan Nablus.

“Seorang rakyat Palestin lari ke arah tentera dan melemparkan objek yang mencurigakan kepadanya, sehingga berlaku letupan berdekatan anggota itu,” kata pihak tentera dalam kenyataan sambil menambah tiada anggotanya tercedera.

“Sebagai tindak balas, tentera itu cuba menghentikan suspek dengan melepaskan tembakan ke udara dan kemudian menembak ke arah lelaki berkenaan. Satu bedilan terkena sasaran,” katanya.

Bagaimanapun, pihak tentera tidak memberikan sebarang perincian lanjut.

Menurut laman web berita rasmi Palestin, Wafa, Ahmed Zahi adalah rakyat Palestin keempat dibunuh berhampiran Beita dalam tempoh sebulan.

Semalam, seorang wanita Palestin turut mati ditembak oleh tentera Israel kerana didakwa cuba melanggar beberapa tentera Israel dengan kereta dipandunya, selain menyerang dengan sebilah pisau. – AFP

Seorang penunjuk perasaan Palestin membaling kanister gas pemedih mata semasa tunjuk perasaan berhampiran Beit El, Ramallah pada 15 Jun. – AFP