Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remaja pelarian bina hidup baru di Greece

    ATHENS – Seorang warga Afghanistan yang berusia 18 tahun, Jawad Ahmad telah sampai di Pulau Lesbos pada tahun lepas bersama dengan abang dan sepupunya serta beranggapan bahawa Greece adalah hanya sebagai lokasi perhentian sebelum meneruskan perjalanan untuk memasuki Jerman.

    Namun setelah Jawad sampai di pulau itu, sempadan Eropah telah ditutup dan meninggalkan dirinya tersekat di negara itu membuatkan harapannya untuk memasuki Jerman musnah. “Selama lapan bulan, setiap hari, saya akan bangun tanpa mengetahui apa yang akan saya lakukan setiap hari di sini, saya menjadi gila namun semenjak empat bulan yang lalu, saya sering menghadiri forum migrasi di pejabat Athens dan mula mempelajari bahasa Yunani,” kata Ahmad kepada wartawan AFP.

    Kini, selain mempelajari bahasa-bahasa negara tersebut, Ahmad turut ikut serta dalam kejohanan bola sepak yang mana diusahakan oleh sekumpulan bantuan NGO di negara itu bagi membantu pelarian muda ini untuk membiasakan diri mereka dengan persekitaran negara itu dan menjadikannya kediaman baru mereka. “Saya mengambil keputusan untuk mengambil alih dan mula merancang untuk membina masa depan saya di sini. Saya mahu belajar komputer dan dalam masa yang sama terus bermain bola sepak kerana itu semangat saya,” tambah Ahmad lagi kepada wartawan AFP. “Apa yang pasti, ia mungkin satu hasrat dan cita-cita yang baik namun di sini, kami perlu bekerja keras kerana pihak kerajaan Greece tidak memberikan apa-apa pertolongan kepada pelarian berbanding di Jerman di mana, para pelarian diberikan pertolongan dan bantuan,” tambah Ahmad lagi kepada wartawan AFP.

    Dengan sokongan daripada Mercy Corps iaitu sebuah kumpulan kemanusiaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ahmad telah membentuk pasukan bola sepak beliau sendiri. Ahmad cuba untuk bersaing dalam kejohanan yang dilancarkan oleh kumpulan kemanusiaan itu pada bulan Januari lepas yang mana kebanyakan ahli pasukan beliau terdiri daripada para pelarian dan sukarelawan daripada Greece, Sepanyol dan juga negara-negara Eropah yang lain.

    GREECE-MIGRANTS-REFUGEES

    GREECE-MIGRANTS-REFUGEES

    “Kami mendapati banyak aktiviti telah ditawarkan untuk kanak-kanak namun hanya sedikit sahaja ditawarkan untuk para remaja dan ini membuatkan mereka merasa gementar dan takut memikirkan masa depan mereka. Kami sangat berterima kasih kepada syarikat-syarikat antarabangsa yang besar kerana membantu gerakan kemanusiaan kumpulan kami untuk membantu remaja-remaja ini. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk membiayai projek-projek untuk pelarian muda dan berkongsi dengan pemain-pemain tempatan,” kata perwakilan Mercy Corps, Monica Rabii kepada wartawan AFP.

    Sebagai warganegara normal

    Bagi Ahmad, kejohanan bola sepak itu adalah cara yang terbaik bagi pendatang untuk bergaul dengan penduduk Greece dan masyarakat yang lain dan ini juga menunjukkan bahawa pelarian khususnya golongan remaja adalah sama seperti remaja-remaja yang lain. Setiap pagi remaja itu akan keluar dari kawasan kem pelarian di Oinofita iaitu zon pelarian yang terletak di kawasan perindustrian di utara Athens dan remaja itu akan menghadiri kelas bahasa dan latihan bola sepak bersama dengan rakan-rakan yang lain. “Saya hanya akan balik semula ke kem perkhemahan untuk tidur dan saya sudah mula merasa seperti seorang warganegara Greece dan merasa kurang terperangkap di negara ini,” tambah Ahmad lagi kepada wartawan AFP.

    Bagi Ahmad, kejohanan bola sepak itu adalah cara yang terbaik bagi pendatang untuk bergaul dengan penduduk Greece dan masyarakat yang lain. – AFP
    Bagi Ahmad, kejohanan bola sepak itu adalah cara yang terbaik bagi pendatang untuk bergaul dengan penduduk Greece dan masyarakat yang lain. – AFP
    Kini, selain mempelajari bahasa-bahasa negara tersebut, Ahmad turut ikut serta dalam kejohanan bola sepak yang mana diusahakan oleh sekumpulan bantuan NGO di negara itu. – AFP
    Kini, selain mempelajari bahasa-bahasa negara tersebut, Ahmad turut ikut serta dalam kejohanan bola sepak yang mana diusahakan oleh sekumpulan bantuan NGO di negara itu. – AFP

    Iman Al-Bohtari yang berusia 22 tahun berasal dari Syria telah tiba di negara itu pada bulan Mac lepas dan dia juga berharap untuk mula membina kehidupan baru di negara itu dan berharap untuk hidup normal sebagaimana dengan penduduk yang lain. Iman berharap untuk dibenarkan bersama dengan ahli keluarganya yang mana kini berada di Sweden. Kakaknya telah pergi ke Sweden bersama dengan suami dan saudara mereka baru-baru ini untuk membina kehidupan baru di negara itu. “Apabila kakak saya pergi, saya amat tertekan dan saya menjadi seorang yang lemah,” kata Bohtori kepada wartawan AFP. Iman Bohtori mempunyai ijazah ekonomi dari Universiti Damsyik.

    Namun selepas sahaja beberapa mesyuarat yang dikelolakan oleh Mercy Corps, Iman mula mengikuti beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh Melissa, iaitu sebuah persatuan yang membantu wanita-wanita asing untuk membiasakan mereka sentiasa berhubung bersama dengan bekas-bekas pelarian. Di perkumpulan ini, ahli akan bermain gitar dan membuat origami serta aktiviti-aktiviti yang membantu para pelarian untuk sentiasa kekal positif dan tidak memikirkan masa lalu atau ketidaktentuan masa depan. Persatuan Melissa telah mengadakan kelas ukiran di mana para peserta bermula dengan mengukir anak patung dengan menggunakan ubi kentang. “Aktiviti ini bertujuan untuk tiap-tiap peserta merasa diri mereka lebih bernilai untuk mencipta, mempunyai kreativiti dan tidak hanya duduk serta menunggu,” kata Mustafa Brumida Guda, seorang artis dari Albania yang mengetuai kelas tersebut kepada wartawan AFP.

    Bagi pelarian, Zozen Daoud, seorang ibu berasal dari Syria yang berusia 26 tahun mengatakan bahawa kelas ini memberikan dirinya satu peluang untuk berehat dan lupa sejenak bahawa dirinya terperangkap di Greece dan melakukan perkara-perkara yang digemarinya. “Saya menghabiskan masa selama lapan bulan di kawasan perkhemahan dan sekarang, walaupun Greece bukan pilihan pertama saya, namun saya perlu berfikir untuk terus menetap di sini dan mempelajari bahasa serta mula mencari pekerjaan,” tambah Zozen kepada wartawan mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda