Remaja Sabah kongsi pengalaman vaksinasi, ikhtiar lindungi diri

KOTA KINABALU – Keputusan kerajaan Sabah membenarkan vaksinasi COVID-19 ke atas remaja berumur antara 12 dan 17 tahun bermula 16 Sept lepas, nyata disambut baik oleh golongan itu terutama bagi yang tidak sabar untuk kembali ke sekolah.

Masing-masing rasa teruja dan gembira meskipun tetap gementar ketika melangkah kaki ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima suntikan dos pertama.

Berkongsi pengalaman kepada Bernama, seorang remaja Farihin Najmi Awang Suhaizam, 17,  berkata dia sudah lama menunggu dan bersedia untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana baginya ia adalah ikhtiar melindungi diri daripada risiko jangkitan COVID-19.

“Saya tidak mengalami sebarang simptom selepas vaksinasi melainkan lenguh di bahagian lengan.

Rasa teruja dan gembira kerana jika sudah divaksin bermakna saya boleh pergi ke sekolah selain dapat ke mana-mana bagi menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Paling penting selepas ini (apabila sekolah dibuka) saya boleh fokus belajar secara bersemuka di sekolah, tidak hanya belajar secara dalam talian di rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kimanis, Papar, itu berkata dia ke PPV Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 16 Sept lepas ditemani ibunya Mariam Ag Damit dan adiknya Muhammad Awang Suhaizam, 15, yang turut mengambil vaksin pada hari sama.

“Proses vaksinasi berjalan lancar, saya berharap rakan-rakan remaja lain dapat sama-sama berbuat demikian kerana vaksin adalah untuk imuniti dan pertahanan badan kita,” katanya. Sabah memutuskan memberikan vaksin kepada kumpulan remaja, selari dengan keputusan Kementerian Kesihatam Malaysia untuk memastikan seramai mungkin remaja berisiko tinggi diberi vaksin dan menjelang pembukaan sesi persekolahan kelak. – Bernama

Salah seorang bapa pelajar merakam video menggunakan telefon pintar ketika anaknya menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kolej Matrikulasi Labuan baru-baru ini. Ramai pelajar menyambut baik vaksinasi sebagai ikhtiar melindungi diri mereka. – Bernama