Remaja UK bakal terima booster

LONDON, 15 NOV – Program vaksin penggalak (booster) bagi vaksinasi COVID-19 Britain dijangka akan diperluaskan kepada remaja selepas saintis memberi ‘lampu hijau’ hari ini.

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) kerajaan UK berkata semua orang dewasa yang sihat berusia 40 hingga 49 tahun seharusnya diberikan booster, enam bulan selepas dos kedua mereka.

Sebelumnya, program booster terhad kepada mereka yang berusia 50 ke atas, dan mereka yang ada rekod perubatan. Kira-kira 12.6 juta warga Britain telah menerima suntikan ketiga.

JCVI juga berkata remaja berusia 16 dan 17 tahun kini sepatutnya ditawarkan dos kedua suntikan Pfizer/BioNTech.

Kumpulan usia tersebut sebelumnya telah ditawarkan hanya satu dos di Britain, sementara menunggu data berkaitan keselamatan suntikan bagi remaja di bawah 18 tahun. Kumpulan usia yang diperluaskan meliputi nasihat baharu itu akan ‘membantu melanjutkan perlindungan kita sehingga 2022’, kata profesor Wei Shen Lim dari JCVI dalam satu kenyataan.

UK melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran pertama dunia bagi menentang COVID-19 pada Disember 2020, kira-kira setahun selepas penyakit itu muncul di China.

Namun kerajaan Britain sentiasa dikritik berhubung responsnya kepada pandemik lebih umum. Setakat ini, hampir 143,000 orang meninggal dunia di Britain dalam masa 28 hari setelah diuji positif COVID-19, jumlah kedua paling teruk di Eropah setelah Rusia.

Namun ahli politik konservatif, Oliver Dowden berkata orang awam seharusnya yakin mengenai Krismas lebih normal daripada tahun lalu, ketika kempen inokulasi masih di peringkat awal.

“Belum ada rancangan untuk menghentikan Krismas. Perbezaan besar kali ini adalah vaksin,” kata pengerusi bersama parti pemerintah Britain itu memberitahu Sky New hari ini.

“Ia terpulang pada diri masing-masing. Jika anda mendapatkan booster semasa waktunya tiba, ia adalah tembok pertahanan besar yang kita ada untuk menentang COVID-19,” katanya. – AFP