Rempuh kanak-kanak, lelaki dihukum mati

SHENYANG, 9 JULAI – Sebuah mahkamah di timur laut Wilayah Liaoning China hari ini menjatuhi hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana membunuh enam kanak-kanak dan mencederakan 20 yang lain selepas merempuh sekumpulan kanak-kanak yang sedang melintas jalan raya.

Defendan, Han Jihua, memandu sebuah kereta sedan dan merempuh sekumpulan 60 kanak-kanak dan dua guru mereka sebelum melarikan diri dari tempat kejadian pada 22 November tahun lalu, menurut Mahkamah Perantara Rakyat di bandar Huludao.

Dia diberkas oleh polis kurang satu jam kemudian.

Mahkamah berkata jenayah Han dirancang lebih awal dan didorong oleh rasa tidak puas hati dan kemarahan terhadap masyarakat berpunca daripada masalah kewangan dan kerumitan dalam hubungan peribadi dan suami isteri.

Mahkamah berkata ia menjatuhi hukuman mati berdasarkan ciri-ciri jenayah dan kesan sosialnya.

Motif Han untuk melakukan jenayah itu adalah keji dan jenayah tersebut, yang dilakukan dalam cara yang kejam, mengancam keselamatan orang awam, menurut mahkamah. – Xinhua