Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Remy Ishak utamakan kualiti lakonan

    PELAKON Remy Ishak mengakui sudah tiba masanya dia lebih memilih gandingan heroin dalam drama selepas lebih sedekad bergelar pelakon.

    Pelakon yang kini popular menerusi drama bersiri Kekasih Paksa Rela ini berkata, setiap kali bergandingan dengan pelakon baru, dia memang berikan yang terbaik.

    “Saya tidak pernah rasa saya pelakon yang bagus. Namun, selepas beberapa kali berganding dengan pelakon baru, saya rasa sudah sampai masanya untuk memilih siapa heroin selepas ini.

    “Jika pada usia awal 30-an, memang boleh terima berganding dengan pelakon baru tetapi pada usia 36 tahun, saya sudah penat dan ingin berganding dengan pelakon lebih berpengalaman,” katanya.

    Pemilik nama sebenar Mohamad Zalimie Ishak ini juga menganggap drama platform baru baginya untuk bereksperimen dengan watak.

    Remy Ishak mengakui sudah tiba masanya dia lebih memilih gandingan heroin dalam drama selepas lebih sedekad bergelar pelakon.

    Namun, dia juga tidak menyangka watak lelaki berusia dalam Ke kasih Paksa Rela yang bersiaran di TV3 itu mendapat sambutan penonton.

    Dalam drama bersiri itu, Remy berganding dengan pelakon baru Intan Najuwa.

    “Alhamdulillah, watak lelaki berusia adalah batu loncatan dalam lakonan kerana sudah lama tidak buat projek drama bersiri untuk TV3.

    “Saya juga tidak menaruh harapan tinggi apabila berlakon dengan pelakon baru seperti Intan kerana mereka tiada asas dalam lakonan dan bukan penuntut ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan) atau seumpamanya.

    “Memang ada sedikit kesukaran apabila berlakon dengan Intan dalam drama itu. Saya pula memang tidak mengajar pelakon baru di lokasi kerana masih anggap diri dalam proses pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej percutian Kowamas Holidays bersama kelab peminat di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

    Mengulas isu poligami dalam drama berkenaan, Remy berkata, ia bukan untuk mengangkat poligami sebaliknya dia lebih suka melihat sebagai sajian hiburan saja.

    “Banyak kes perceraian berlaku sejak kebelakangan ini. Menerusi drama ini, ramai penonton yang mula sedar tidak semestinya menjadi isteri kedua itu tidak baik,” katanya.

    Remy berkata, dia juga pernah gagal dalam uji bakat lakonan bersama Maya Karin pada awal pembabitannya dalam dunia lakonan dulu.

    “Saya faham apa yang dialami pelakon baru kerana pernah gugup apabila hadir uji bakat dengan Maya dalam filem Cun ketika itu.

    “Saya lebih suka bersikap positif dan anggap diri dalam proses belajar ketika itu. Saya juga percaya kita boleh menjadi pelakon yang lebih baik pada tahun demi tahun,” katanya yang turut terbabit dalam beberapa drama dan filem antaranya Do(s)a, Pulang dan The Legend of Pontianak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda