Oleh Mohamad asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Kejohanan Renang Kumpulan Usia Asia Tenggara ke-41 Tahun 2017 yang dihoskan Persatuan Renang Amatur Brunei Darussalam (BASA) akan membuka tirai perlumbaan esok dan dijangka berakhir pada Ahad ini, 12 Nov.
Delegasi-delegasi dari negara-negara peserta sudah selamat tiba di negara ini antaranya dari Vietnam, Thailand, Singapura, Filipina, Myanmar, Malaysia, Indonesia dan Kemboja.
Sementara itu acara pembukaan rasmi pula akan berlangsung pada hari Sabtu dan dijangka hadir bagi membuka rasmi kejohanan itu nanti ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Pada hari terakhir kejohanan pula akan berlangsung Makan Malam Gala bagi meraikan delegasi-delegasi renang Asia Tenggara, seterus mempersembahkan mereka dengan acara kebudayaan dan tayangan slaid sebelum penyampaian hadiah kepada para pemenang. Dalam makan malam itu juga akan ada pengumuman mengenai hos seterusnya bagi kejohanan renang ke-42 tahun depan.

Pasukan Brunei Darussalam akan disertai oleh Nur Haziq Samil, Dylan Chua Chen Yee, Justin Lim, Chan Zeke, Breanna Lee Le Er, Natasha Sia, Andra Chai, Ashley Chai, Natasha Sia dan Emma Yusuf.
Baru-baru ini atlet renang negara mendapat rangsangan moral selepas mendapat sokongan kuat menerusi tajaan daripada Gator Sports Brunei, Globex Global Logistics Sdn Bhd dan Imperial Sports. Tajaan-tajaan itu diterima oleh Presiden BASA, Aziza Latif di Sekolah Antarabangsa Brunei.