Renault, Nissan, Mitsubishi bakal umum rancangan strategi minggu depan

PARIS, 20 MEI – Pengeluar automotif, Renault, Nissan dan Mitsubishi telah mengumumkan akan melancarkan rancangan strategi minggu hadapan untuk memperbaiki persepakatan mereka yang terganggu ketika wabak koronavirus yang menjejaskan industri.

Ketiga-tiga buah syarikat tersebut mengumumkan kelmarin bahawa mereka akan mengadakan ‘sidang media bersama mengenai kemajuan dalam aktiviti Persepakatan’ pada 27 Mei.

Mereka berkata pada bulan Januari bahawa mereka merancang untuk mengukuhkan kerjasama berikutan kerisauan yang meningkat bahawa mereka akan berpisah, dan mereka mungkin akan mengumumkan syarikat yang mana akan memimpin teknologi tertentu atau bahagian tertentu untuk mengurangi biaya. Kerjasama selama lebih dari 20 tahun di antara Nissan dan Renault, berdasarkan pegangan saham silang tanpa struktur bersama, dibina oleh Carlos Ghosn yang memegang jawatan atasan di kedua-dua buah syarikat.

Ghosn telah mengubah nasib Nissan dan kemudian membantu membina kumpulan automotif terbesar di dunia dengan penambahan Mitsubishi.

Tetapi persepakatan tersebut menjadi goyah berikutan penangkapan mengejut Ghosn di Tokyo pada November 2018 atas tuduhan salah laku kewangan.

Kesemua tiga buah syarikat bergelut walaupun sebelum pandemik koronavirus, menyebabkan penjualan menjunam ketika kerajaan memaksa orang ramai untuk kekal di rumah bagi memperlahankan penularan virus.

Nissan merancang untuk mengumumkan langkah sekatan Khamis depan pada masa yang sama mereka mengumumkan keputusan tahun kewangan 2019-2020, yang diramal mengalami kerugian.

Sehari selepas itu, giliran Renault, dengan pembuat automotif itu telah mengatakan pada bulan Februari bahawa ia berhasrat untuk menjimatkan dua bilion euro simpanan selama tiga tahun dan tidak termasuk penutupan kilang.

Syarikat Perancis itu dilaporkan merancang menutup empat buah kilang mereka di Perancis, termasuk sebuah kilang yang menghasilkan kereta elektronik, Zoe, mingguan Canard Enchaine berkata kelmarin tanpa memetik sumbernya. – AFP

Seorang pekerja ketika melakukan kerja-kerja pemasangan di sebuah kilang Renault di Perancis. Renault, Nissan dan Mitsubishi telah mengumumkan mereka akan melancarkan rancangan strategi minggu hadapan untuk memperbaiki syarikat mereka. – AFP