Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rencana pelbagai inisiatif

    Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Institusi pendidikan kerajaan dan swasta di negara ini disarankan supaya dapat merencana pelbagai inisiatif untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan kadar kepuasan majikan bagi graduan masing-masing.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman berkata, usaha demikian diharap akan dapat dijadikan sebagai salah satu mekanisme maklum balas bagi memastikan pihak yang berkepentingan akan sentiasa mendapat perkhidmatan pendidikan yang benar-benar berkualiti dan yang diperlukan.

    Penekanan itu adalah amat penting khususnya dalam senario dunia pada masa ini yang menuntut institusi pendidikan untuk sentiasa responsif dan progresif supaya dapat bersaing di peringkat global, jelas Yang Berhormat Dato ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ke-26 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa salah satu isu hangat yang dibincangkan pada masa ini ialah Revolusi Industri 4.0 yang mana menurut laporan ‘The Future of Jobs Report’ yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Sedunia pada 2016, sebanyak 65 peratus daripada kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah hari ini akan bekerja dalam bidang yang belum lagi wujud sekarang.

    “Revolusi Industri 4.0 ini sudah tentu akan memberikan pelbagai impak serta cabaran kepada semua sektor di negara ini,” kata Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menyampaikan ucapannya.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan kelmarin.

    Jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah lagi, “Justeru memerlukan kita membuat perubahan yang bijak, telus agar kekal berdaya saing khususnya dalam menambah baik kualiti tenaga kerja dan pembangunan ekonomi negara.”

    Beliau menekankan supaya institusi pendidikan kerajaan dan swasta negara perlu peka dan sentiasa bersiap sedia menghadapi arus perubahan yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0 itu. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang berkualiti, ulasnya lagi, setentunya akan dapat memastikan kurikulum dan program yang ditawarkan adalah relevan dan sesuai dengan perkembangan ekonomi dan industri yang sentiasa berubah.

    Beliau juga menyatakan bahawa tenaga pengajar perlu sentiasa memiliki kepakaran dan kemahiran yang terkini serta boleh disesuaikan mengikut keperluan industri.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyatakan bahawa kerjasama rapat antara pihak institusi pendidikan dengan pihak berkepentingan terutamanya pihak industri adalah mustahak.

    “Ia perlu diteruskan dan diperkukuhkan lagi bagi memastikan kurikulum yang dirangka adalah bersesuaian dari segi kaedah pengajaran, pembelajaran dan penggunaan teknologi pada masa kini dan akan datang.”

    Namun, impak Revolusi Industri 4.0 yang lebih ketara adalah kepada nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian di mana negara bukan sahaja memerlukan modal insan yang mempunyai kemahiran teknologi abad ke-21 tetapi juga kemahiran insaniah yang selari dengan usaha menghadapi cabaran global.

    “Sebagi persiapan Revolusi Industri 4.0, pihak institusi perlu menyediakan pendidikan yang holistik, mampu menerapkan pembelajaran sepanjang hayat serta dapat memupuk minda berdikari untuk melahirkan graduan yang mempunyai ketahanan diri yang tinggi, berdaya saing serta sentiasa berfikiran inovatif dan kreatif,” tambah beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda