Rentas sempadan masih ditangguh

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan telah dilanjutkan lagi selama 15 hari bermula 1 hingga 15 November.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri, hari ini, atas menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Pelanjutan itu dikenakan ke atas kemasukan warga asing melalui pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi negara Brunei kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Brunei.

Kemasukan dan perjalanan transit melalui Brunei hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei.

Ini dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara yang berkenaan dan dengan dikenakan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada bagi tujuan atas urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera).

Selain itu, Vaccinated Transport Operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Brunei bagi penghantaran bekalan import yang penting, di samping itu, pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan yang dibuat oleh runners berdaftar di negara ini, keluar dan masuk negara secara ulang alik melalui pos kawalan darat atau laut bagi tujuan pekerjaan juga akan dipertimbangkan.

Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari semasa ke semasa dan untuk maklumat lanjut layari laman JPM www.pmo.gov.bn/travelportal atau hubungi travel hotline di talian 120.