Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rentas sempadan masih ditangguh

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan pelanjutan penangguhan sementara kebenaran aktiviti rentas sempadan selama 15 hari lagi bermula 1-15 Oktober 2021.

    Menurut kenyataan dikeluarkan JPM hari ini, penangguhan adalah bagi kemasukan warganegara asing melalui pos-pos kawalan darat dan laut termasuk perjalanan transit melintasi Negara Brunei Darussalam, kecuali bagi kemasukan atau perjalanan transit yang telah diberikan kebenaran oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan turut menjelaskan, kemasukan dan perjalanan transit melalui negara ini hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam, dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa negara berkenaan, dengan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada.

    Syarat-syarat termasuklah bagi tujuan atas urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera) dan vaccinated transport operators yang berdaftar di luar negara dengan Permit Lintas Batas dikeluarkan Brunei bagi penghantaran bekalan import yang penting.

    Lanjutan penangguhan termasuk pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh runners berdaftar di Negara Brunei Darussalam serta keluar dan masuk negara secara ulang alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan.

    Pelanjutan penangguhan kemasukan dan keluar negeri bagi lima buah negara dari subbenua India, iaitu India, Nepal, Sri Lanka, Pakistan dan Bangladesh turut dikuatkuasakan tarikh yang sama. Ia termasuk semua warganegara asing yang berlepas dari atau melalui mana-mana lapangan terbang di subbenua India itu.

    Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di Negara Brunei Darussalam adalah dibolehkan untuk memasuki negara ini.

    Perjalanan warganegara asing yang berlepas dari subbenua India dan perjalanan keluar dari Negara Brunei Darussalam menuju ke subbenua India tersebut atas apa jua sebab atau urusan juga ditangguh.

    Walau bagaimanapun, pemegang pasport diplomatik dan anggota angkatan bersenjata yang ditugaskan di negara ini adalah dibolehkan untuk membuat perjalanan keluar negeri serta warganegara asing yang memegang pas pekerjaan atau pas tanggungan yang dibatalkan atau pemegang Special Authorisation Work Pass atau Professional Visit Visa yang bekerja sementara di Negara Brunei Darussalam dan akan kembali ke negara asal masing-masing secara tetap. Penangguhan kebenaran itu juga dikenakan bagi warganegara asing yang telah diberikan kebenaran awal, maka kebenaran tersebut adalah ditarik balik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda