Rentas sempadan: Status vaksinasi diutamakan, tiada TGL

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Negara Brunei Darussalam hari ini mengemaskinikan protokol perjalanan rentas sempadan yang akan mula berkuat kuasa pada 6 dan 15 Mei, antaranya menekankan pindaan definisi lengkap vaksinasi dan mentiadakan kategori senarai negara perjalanan hijau (TGL) serta memperluaskan penggunaan ujian pantas antigen (ART).

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar) menjelaskan pengemaskinian protokol itu pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini, atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Bermula 15 Mei, syarat garis panduan perjalanan keluar negara iaitu lengkap vaksinasi dos ketiga (dos penggalak) bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan yang akan kembali ke negara ini adalah dilaratkan kepada individu berumur 12 hingga 17 tahun yang berhasrat untuk membuat perjalanan keluar negara.

Selain itu, mengambil kira keberkesanan ujian ART dalam mengenal pasti kes-kes jangkitan aktif dalam kalangan individu yang berjangkit sepertimana yang ditunjukkan oleh penganalisaan data, statistik tempatan telah menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan dalam risiko jangkitan di antara mereka yang tiba dari negara-negara dalam senarai negara perjalanan hijau dengan mereka yang tiba dari negara-negara yang tidak termasuk dalam senarai TGL serta penyelarasan dengan protokol kesihatan dalam negara.

Sehubungan itu, bermula 6 Mei, perjalanan masuk tidak mustahak ke Negara Brunei Darussalam melalui udara adalah dibenarkan bagi orang-orang yang telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 dari mana-mana negara tanpa memerlukan permohonan Entry Travel Pass (ETP), jelasnya.

Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan mengenai pindaan definisi vaksin lengkap daripada dua dos vaksin kepada dos penggalak atau jika tidak mempunyai dos penggalak, hendaklah mendapatkan dua dos vaksin COVID dengan dos kedua didapatkan tidak lebih daripada tiga bulan sebelum tarikh masuk ke negara ini.

Brunei juga tidak lagi mengkategorikan senarai negara-negara TGL dan bukan TGL, namun protokol kesihatan bagi kemasukan ke negara ini hanyalah berdasarkan vaksinasi masing-masing sahaja, di mana protokol kesihatan bagi orang-orang yang tidak mempunyai vaksinasi penuh adalah sama seperti protokol kesihatan bagi mereka yang tiba dari negara bukan TGL sebelum ini.

Bagi yang telah melengkapkan vaksinasi, kemasukan ke negara ini hanya memerlukan mereka untuk menjalani ujian ART selepas tiba tiga kali iaitu pada hari ketibaan, hari kedua dan ketiga.

“Ini bermakna ujian RT-PCR semasa ketibaan adalah ditiadakan dan mereka tidak lagi diperlukan untuk menjalani pengasi-ngan diri, hanya jika mendapat keputusan ART yang negatif. Caj sebanyak $40 juga akan dikenakan bagi tiga kit ART tersebut,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, orang-orang yang belum melengkapkan vaksinasi hanya dibenarkan masuk ke negara ini jika mempunyai pengesahan pengecualian kesihatan bagi vaksinasi COVID-19, dan adalah dikehendaki untuk menjalani ujian ART semasa ketibaan dan ujian RT-PCR pada hari ketiga selepas ketibaan.

“Mereka juga dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri sehingga keputusan ujian RT-PCR diperolehi. Caj sebanyak $100 adalah dikekalkan bagi ujian ART dan RT-PCR berkenaan,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa aktiviti perjalanan rentas sempadan melalui pos-pos kawalan darat dan laut masih tidak dibenarkan kecuali bagi urusan perjalanan yang mustahak sahaja.