Rentas zon masih tidak dibenarkan di Sarawak

KUCHING, 3 MAC – Pergerakan merentas zon di Sarawak masih tidak dibenarkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata arahan itu masih berkuat kuasa sehingga 15 Mac depan kecuali jika seseorang itu mendapat surat kebenaran daripada polis.

“Susulan pengumuman (di peringkat persekutuan) semalam, hari ini terdapat banyak kekeliruan.

“Jadi kami perlu menjelaskan mengenai pergerakan rentas daerah termasuk pergerakan ke zon berlainan…

sekatan masih berkuat kuasa,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata larangan pergerakan merentas negeri di seluruh negara ketika ini dikekalkan manakala pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali di Sabah berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini.

Hari ini, Sarawak mencatatkan 139 kes baharu COVID-19 dan satu kematian.

Uggah juga berkata Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju membuka semula kemasukan pekerja asing berkuat kuasa 1 Mac.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan permohonan industri yang memerlukan pekerja asing. – Bernama