Repatriasi bawa pulang rakyat India dilancarkan

NEW DELHI, 5 MEI – India telah melancarkan operasi ‘besar-besaran’ untuk membawa pulang ratusan ribu rakyatnya yang terkandas di beberapa negara disebabkan wabak COVID-19, dengan menggunakan pesawat dan kapal tentera laut.

India mengharamkan semua penerbangan antarabangsa masuk ke negara pada akhir Mac apabila ia mengenakan salah satu lockdown paling ketat di dunia, meninggalkan sejumlah besar pekerja dan pelajar terkandas di seluruh dunia.

Jurucakap pertahanan memberitahu AFP hari ini bahawa dua buah kapal sedang dalam perjalanan ke Maldives dan Emiriah Arab Bersatu, tempat tinggal 3.3 juta komuniti India, yang membentuk 30 peratus daripada penduduk negara Teluk.

Kenyataan kerajaan berkata penerbangan repatriasi akan membawa pulang rakyat mulai Khamis, dan kedutaan dan suruhanjaya tinggi India sedang menyediakan senarai warga India yang terjejas. Mereka yang pulang perlu membayar kos perjalanan mereka, kata kenyataan, tanpa mengulas lanjut, dan menjalani kuarantin 14 hari selepas tiba.

“Ia akan dilaksanakan secara bertahap”, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai akan dibawa balik dari negara seperti Asia Tenggara, Teluk Arab, Eropah dan Amerika Utara, kerana wabak itu telah menyebabkan ramai pekerja migran di seluruh dunia hilang pekerjaan.

India juga mempunyai sebilangan besar penuntut di universiti asing.

Media tempatan melaporkan 30 pesawat dan sebilangan besar kapal laut dijangka memulakan proses untuk memindahkan rakyat India. – AFP/Bernama