Replika 3D abadi kenangan

Oleh Nurdiyanah R.

Hadirnya si kecil dalam kehidupan rumah tangga menjadi anugerah terindah yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri.

Kecomelan sepasang kaki dan tangan si buah hati menggeliat pastinya sungguh mencuit hati dan jiwa para ibu bapa sehingga tidak hairanlah momen kebahagiaan itu seakan-akan suatu kerugian bagi mereka jika dilepaskan begitu sahaja tanpa diabadikan bersama.

Demi merealisasikan impian pasangan dalam mengabadikan kenangan terindah itu, insan berjiwa artistik ini, Dayang Monica binti Jamil semakin giat mewarnai industri perusahaan kreatif tanah air khususnya dalam perkhidmatan rekaan replika tiga dimensi dinamakan The Daffodils, Hand n Foot Casting Bn dan giat dipromosikan di laman media sosial.

Replika pencetus kegembiraan bersama

Selaku pengasas, Dayang Monica yang menjalankan perkhidmatan sejak bulan Mei 2019 lalu mengetengahkan pelbagai rekaan replika sejenis tiga dimensi iaitu dengan membentuk tangan dan kaki anak damit, kemudian dibingkai dan dihias sehingga boleh dijadikan perhiasan kenangan manis dalam mengisi ruang rumah atau kediaman seseorang.

Bukan rekaan replika kaki dan tangan si kecil sahaja, malah senyuman yang terukir di bibir seseorang juga boleh dihasilkan olehnya.

Dayang Monica selaku Pengasas The Daffodils, Hand n Foot Casting Bn bersama Caleb Leong sebagai pengasas bersama semasa ditemui penulis baru-baru ini yang semakin giat mewarnai industri perusahaan kreatif tanah air khususnya dalam perkhidmatan rekaan replika tiga dimensi.
Senyuman yang terlukir dibibir seseorang juga boleh dihasilkan oleh Dayang Monica.
Dayang Monica menyatakan pembuatan rekaan replika ini sememangnya memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang mendalam bermula dari proses pembuatan adunan, perendaman anggota, proses menghalusi rekaan, pengeringan sehinggalah proses pengecatan produk yang dihasilkan.
Sungguh menarik….Tapak tangan dan kaki si kecil yang diabadikan dalam bingkai dan boleh dijadikan perhiasan kenangan manis dalam mengisi ruang rumah atau kediaman seseorang – Gambar serahan Dayang Monica.

Namun beliau juga menawarkan perkhidmatan untuk pasangan suami isteri atau insan-insan tersayang untuk merakamkan memori bersama menerusi penghasilan replika yang mencerminkan gambaran nilai kasih sayang.

“Pencetus kegembiraan bersama mereka, itulah yang diharapkan dalam sama-sama meraikan detik-detik penuh istimewa pada setiap kehidupan pasangan suami isteri menerima kehadiran cahaya mata. Biarlah setiap sentuhan replika yang dihasilkan dapat dijadikan sesebuah kenangan istimewa di hari mendatang,” ujarnya yang turut dibantu oleh pengasas bersama perkhidmatan berkenaan, Caleb Leong.

Menyelami kemahiran asas secara persendirian

Dayang Monica yang dulunya menjalankan perkhidmatan dari rumah ke rumah itu dan kini beralih kepada perniagaan atas talian turut menjelaskan bahawa kemahiran menghasilkan replika itu adalah berdasarkan latihan secara berterusan dan melalui kajian terperinci dari internet.

“Dunia seni lukis ini bagaikan sesuatu yang sudah sebati dalam kehidupan seharian saya sejak kecil lagi sehinggalah ke hari ini, minat terhadap seni artistik sebegini semakin bersemarak dalam jiwa saya sehingga membawa saya ke dunia keusahawanan yang dimulakan secara kecil-kecilan.

“Bermula dengan menghasilkan produk seni lukis batu dan kini saya ingin memilih medium yang lebih berbeza iaitu dalam mengetengahkan rekaan replika tiga dimensi ini yang mungkin perkhidmatan awal yang terdapat di negara ini,” ucapnya dengan senyuman manis yang turut mengimbas detik-detik percubaan pertama membuat rekaan replika pada tangan anak buah beliau suatu ketika dahulu.

Pentingnya ketelitian dan kesungguhan

Dengan menawarkan pelbagai pakej istimewa dengan harga tertentu, Dayang Monica menyatakan pembuatan replika itu sememangnya memerlukan ketelitian dan kesungguhan yang mendalam bermula daripada proses perendaman anggota kemudian proses menghalusi rekaan dan pengeringan sehinggalah ke proses pengecatan atau penggilapan produk yang dihasilkan.

Menurut beliau, produk replika yang dihasilkan itu menggunakan salah satu bahan asas bertekstur sejenis tepung yang diadun sebati bersama bahan-bahan lain sebelum dilakukan sesi perendaman anggota yang dikehendaki oleh para pelanggan.

Ujarnya, anggota yang ingin dijadikan replika direndam ke dalam adunan berkenaan dalam beberapa minit sehingga adunan tersebut dalam keadaan keras dan kemudian dikeluarkan anggota tersebut secara perlahan-lahan dan berhati-hati.

Manakala rekaan anggota yang telah mengeras dalam adunan itu diisikan pula dengan adunan khusus untuk menghasilkan bentuk replika yang sempurna sebelum dilakukan proses menghalusi replika daripada adunan di sekelilingnya dan sekali gus sesi pengeringan sehingga pengecatan dengan warna yang terpilih.

Terokai anugerah bakat sebaik-baiknya

“Cabaran semestinya ada. Itulah yang membangkitkan diri ini untuk lebih fokus dalam menghasilkan rekaan replika yang memuaskan.

“Salah satunya apabila membuat cetakan tangan dan kaki anak damit haruslah dalam keadaan ‘stay still’ atau diam agar replika yang ingin dihasilkan tidak memiliki kerosakan. “Lebih mudah jika si kecil sedang tidur atau ketika sedang menyusu,” jelasnya dengan senda gurau yang kebiasaannya memerlukan masa dua ke tiga minggu tempoh untuk menyiapkan setiap tempahan.

Dalam pada itu, Dayang Monica juga menyatakan rasa syukurnya dengan adanya sokongan dan dorongan yang teguh daripada insan-insan tersayang, kedua-dua ibu bapa dan tunangnya itu turut berkesempatan mengemukakan bahawa apabila kita memiliki bakat atau kemahiran tertentu, kita mestilah sentiasa memberanikan diri untuk tampil serta yakin untuk menerokai sedalam-dalamnya kemampuan yang ada.

“Di samping itu, sentiasalah menimba ilmu dan menerima segala teguran secara positif serta mencari setiap permasalahan itu dengan jalan penyelesaian yang terbaik.

“Apa yang pasti capailah segala impian dan cita-cita selagi masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tenaga yang masih kuat dengan penuh komitmen dan keikhlasan meskipun harus meniti anak-anak tangga yang berliku-liku,” nasihat beliau bersama pengasas bersama perkhidmatan berkenaan kepada masyarakat di negara ini dengan nada penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.