Replika ikan tarikan baharu Tamparuli

TAMPARULI, 23 JULAI – Replika ikan air tawar yang telah siap dibina berhampiran trek joging di tebing Sungai Tamparuli, di sini, menjadi satu lagi daya tarikan baharu pelancong untuk berkunjung ke daerah ini.

Replika kira-kira tiga meter panjang direka menggunakan konkrit itu diletakkan di atas sebatang tiang konkrit setinggi lima meter dengan dikelilingi beberapa bangku kecil untuk kemudahan pengunjung duduk bersantai dan berehat selepas beriadah di situ.

Pemilihan tebing sungai sebagai lokasi menempatkan replika ikan itu bukan hanya bersesuaian dengan kawasan tersebut yang diwartakan sebagai kawasan Tagal sejak 2011, malah lokasi berkenaan juga adalah tumpuan ramai melakukan riadah setiap hari.

Tagal adalah satu sistem bagi mengawal tangkapan hasil sungai diamalkan penduduk setempat dalam usaha memulihara ekosistem sungai demi memastikan sumber ikan air tawar tidak kehabisan.

Difahamkan, replika ikan air tawar itu dibina hasil usaha Kelab Tamparuli Sabah (KTS) yang turut mengusahakan kantin kecil berhampiran trek joging di kawasan sama.- Bernama

Replika ikan air tawar menjadi daya tarikan baharu kepada orang ramai berkunjung ke Tamparuli, terutama mereka yang datang melakukan riadah di trek joging berhampiran tebing Sungai Tamparuli. – Bernama