KUALA TERENGGANU, 19 Feb – Keunikan replika naga berwarna emas yang dihasilkan daripada bahan terbuang menjadi tumpuan masyarakat Cina dan pengunjung yang hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA Terengganu, di Kampung Cina, di sini, semalam.
Replika naga sepanjang empat meter yang memukau pandangan itu dicipta anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cherong Lanjut di sini menggunakan seratus peratus bahan kitar semula iaitu botol minyak, botol air mineral, batang aiskrim, bulu tangkis dan penutup botol kaca.
Anggota jawatankuasa JKKK Cherong Lanjut, Janet Tan Bee Loon berkata projek mencipta replika naga itu dimulakan sejak enam minggu lalu khas untuk dipamerkan di Kampung Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
“Seramai 15 anggota JKKK Cherong Lanjut bertungkus lumus menyiapkan replika ini. Kami sangat gembira kerana replika naga ini memang menjadi tarikan ramai berbanding replika yang dipamerkan oleh JKKK kampung lain,” katanya kepada Bernama. – Bernama