Republik Czech saman lombong arang batu Poland

PRAGUE, 23 FEB – Kerajaan Czech hari ini berkata ia akan menyaman negara jirannya Poland atas rancangan untuk memperluas lombong arang batu Turow dekat dengan sempadan Czech dan menuntut agar Poland menghentikan perlombongan di sana.

Kementerian luar negeri Czech menuduh bahawa lombong arang batu itu mempunyai kesan negatif terhadap persekitaran di kawasan sempadan, di mana penduduk mengadu kehilangan air, bising dan debu.

Lombong itu terletak di barat daya Poland berhampiran dengan wilayah Republik Czech dan Jerman, yang juga telah mengadu mengenai lombong dan pengembangannya.

Menteri Luar Negeri Czech Tomas Petricek mengatakan kementeriannya akan mengajukan aduan itu ke Mahkamah Kehakiman Kesatuan Eropah (EU) pada bulan Februari dan Mac serta pihaknya mengharapkan keputusan dalam satu tahun.

“Saya telah lama berusaha menyelesaikan perselisihan itu tanpa perlu merujuk kepada pihak pengadilan,” kata Petricek dalam satu kenyataan.

“Kami juga akan mengajukan kertas cadangan untuk tindakan pencegahan dan jika pengadilan mematuhinya, pelombongan di Turow harus berhenti sehingga keputusan itu disahkan,” tambahnya.

Sejak beroperasi pada tahun 1904, lombong itu membekalkan arang batu ke stesen janakuasa tempatan. – AFP