Republikan, Demokratik meterai perjanjian

EL PASO, Amerika Syarikat, 12 Feb – Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) lewat kelmarin mengumumkan perjanjian prinsip bagi mengelakkan berulangnya penutupan kerajaan, serta belanjawan hampir AS$1.4 bilion untuk pembinaan tembok di sempadan bersama Mexico, tatkala Presiden Donald Trump meningkatkan pengaruh politiknya semasa perhimpunan di bandar El Paso.

Jumlah itu kurang daripada apa yang diminta oleh Trump. Tetapi jika diterima, perjanjian itu berkemungkinan akan mengelak daripada berlakunya pertikaian di mana Trump mengancam untuk memotong bajet daripada kerajaan pada Jumaat ini.

Senator Richard Shelby, perunding utama Republikan, memberitahu para wartawan bahawa perjanjian prinsip telah dimeterai antara penggubal undang-undang Republikan dan Demokratik.

Pembantu kanan kongres memberitahu AFP bahawa perjanjian tersebut termasuk AS$1.375 bilion bagi membiayai untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico yang merupakan janji Trump semasa berkempen di mana beliau menuntut AS$5.7 bilion bagi projek tersebut.

Jumlah yang dipersetujui itu akan membiayai bagi pembinaan kira-kira 89 kilometer tembok yang terletak di kawasan Rio Grande Valley, selatan Texas.

Trump berucap semasa mesyuarat bersama sekumpulan syerif di Rumah Putih kelmarin. Penggubal undang-undang AS lewat kelmarin mengumumkan perjanjian prinsip bagi mengelakkan berulangnya penutupan kerajaan, serta belanjawan hampir AS$1.4 bilion untuk pembinaan tembok di sempadan bersama Mexico. – AP

Perjanjian itu masih perlu kebenaran daripada Rumah Putih.

Berita itu tercetus sejurus selepas Trump berucap di arena El Paso dan presiden itu berucap di depan orang ramai di mana beliau tidak mempunyai maklumat lanjut untuk memberi respons.

“Kita berkemungkinan mendapatkan berita baik tetapi siapa tahu,” katanya.

Berucap di depan beribu-ribu orang, Trump berkata: “Kita perlukan tembok dan ia perlu dibina dengan cepat.”

Menurut Trump, pendatang tanpa izin mencetuskan risiko keselamatan negara kepada AS dan hanya boleh dihentikan dengan memanjangkan penghadang yang ada pada masa ini.

Kontroversi mengenai sempadan menjadi permulaan pertarungan Trump dalam pilihan raya 2020 nanti dan perhimpunan di El Paso memberikan sedikit pembayang apa yang akan berlaku nanti. – AFP