Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Para pengunjung terutama sekali mereka yang gemar berjoging di sepanjang Taman Mahkota Jubli Emas melahirkan rasa resah dengan kemunculan beberapa ekor anjing liar sejak beberapa bulan lalu di kawasan berkenaan.
Keresahan disuarakan berikutan beberapa kejadian di mana pengunjung dan pelari di taman berkenaan dikejar oleh anjing liar ketika melalui tempat haiwan berkenaan berkumpul.
Beberapa pengunjung yang ditemui, Awang Radduandy dan Awang Erwan Jumaat serta beberapa orang lagi menceritakan bahawa ada beberapa kali pelari dikejar anjing-anjing berkenaan sehingga terjadi satu insiden yang menyebabkan kecederaan ringan pada kepala seorang pelari yang terjatuh akibat dikejar anjing.
Walaupun belum ada kes digigit anjing dilaporkan di taman berkenaan setakat ini, namun tidak mustahil perkara berkenaan akan terjadi kelak, ujar mereka.
Awang Radduandy turut menasihati orang ramai khususnya pencinta haiwan agar mengambil anjing-anjing terbiar sebagai haiwan peliharaan bukan diberi makan selepas dibiarkan berkeliaran. Beliau percaya bahawa anjing-anjing berkenaan menjadi garang dengan kehadiran beberapa anjing baharu di taman itu.
“Sebelum ini anjing-anjing di situ tidak mengganggu orang ramai yang bersenam tetapi apabila berasa kawasannya tergugat dengan kehadiran beberapa ekor anjing lain, anjing-anjing berkenaan bertukar garang,” jelasnya.
Awang Erwan turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati, serta elakkan berjoging seorang diri di kawasan berkenaan terutama sekali di bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di mana kejadian dikejar anjing sering terjadi di kawasan itu.
“Baru-baru ini, seorang lelaki dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk mendapat rawatan selepas terjatuh akibat dikejar anjing liar ketika sedang bersenam,” ujarnya.
