Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 8 JULAI – Setiap kali hujan lebat, penduduk di Jalan Bukit Bilid, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong akan berasa resah gelisah kerana terpaksa berdepan limpahan air memasuki rumah dan merosakkan perabot-perabot.
“Kerugian harta benda pasti dialami namun keselamatan ahli keluarga dan jiran tetangga adalah menjadi keutamaan kami.
“Kerosakan elektrik berlaku secara tiba-tiba di saat air memasuki kawasan rumah mencecah bahagian-bahagian suis dan wayar-wayar elektrik berdekatan lantai kediaman,” luah salah seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Dayang Zee ketika menghubungi Media Permata, kelmarin, berikutan hujan lebat yang turun, baru-baru ini. Katanya lagi, ia menjadi musibah yang sudah dijangka akan berlaku setiap kali hujan lebat dan mereka tidak tahan jika keadaan berkenaan berulang-ulang, bukan sekali tetapi berkali-kali.
“Bayaran bulanan kediaman tetap terlaksana tetapi di mana pihak-pihak berkepentingan tertentu di saat kami memerlukan.
“Aduan sudah dibuat namun apakah tindakan selanjutnya. Sampai bila kami ternanti-nanti menunggu jawapan dan langkah-langkah selanjutnya. Bukan tidak reda dengan ujian dihadapi tetapi alangkah baik-nya segala permasalahan itu dikelinga dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan keselamatan bersama,” ujarnya dengan penuh harapan.