Resepsi dua duta tamat misi

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Kor Diplomatik di negara ini, hari ini, telah mengadakan majlis resepsi makan tengah hari bagi meraikan dua orang ahlinya yang akan menamatkan misi mereka di negara ini.

Majlis perpisahan bagi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Boyd Allen dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Saleh Mohammed Al-Nesef itu telah diadakan di Presidential Lounge, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong yang turut dihadiri oleh para perwakilan luar negara serta jemputan lain ke negara ini.

TYT Saleh Mohammed Al-Nesef selaku doyen Kor Diplomatik di negara ini dalam ucapannya menyatakan bahawa adalah sukar untuk beliau mengucapkan selamat tinggal kepada TYT Craig Boyd Allen.

“Bagi pihak Kor Diplomatik, saya ingin mengucapkan selamat tinggal setelah berjaya mencapai kejayaan misi di Negara Brunei Darussalam secara profesional.

“Kami berharap agar TYT Craig Boyd Allen dan isteri berada dalam keadaan sihat, sentiasa berbahagia dan berjaya pada masa-masa akan datang.”

TYT Saleh Mohammed Al-Nesef menerima plak cenderamata daripada Kor Diplomatik yang disampaikan oleh TYT Dr Fahad Al-Thafiri.
TYT Craig Boyd Allen dan TYT Saleh Mohammed Al-Nesef bergambar ramai bersama ahli-ahli Kor Diplomatik lainnya.

Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk beliau mengucapkan selamat tinggal setelah meneruskan misi selama enam tahun di negara ini dan menyampaikan ucapan penghargaan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Pada kesempatan itu, TYT Saleh Mohammed Al-Nesef turut mengumumkan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Fahad Al-Thafiri sebagai doyen baharu Kor Diplomatik sebelum menerima cenderamata yang diberikan oleh kor berkenaan.

Sementara itu, TYT Craig Boyd Allen turut mengambil kesempatan menyampaikan penghargaan kepada semua rakan dan mengimbau semula sejarah lama bersama ahli-ahli Kor Diplomatik yang dibina bersama selama empat tahun sejak beliau tiba di negara ini pada Jun 2015.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari bersama ahli-ahli Kor Diplomatik dan jemputan yang lain.