Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Resepsi Hari Kebangsaan Perancis

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Kedutaan Besar Perancis di Negara Brunei Darussalam, hari ini, meraikan Hari Kebangsaan Perancis dengan mengadakan Majlis Resepsi yang berlangsung di kediaman Duta Besar Perancis di Brunei di Jalan Kota Batu, di sini.

    Hadir bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam di majlis itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan datin.

    Turut hadir ialah perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta tetamu khas.

    Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Loan Forgeron semasa menyampaikan ucapan di majlis itu antara lain menekankan bahawa hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Perancis akan terus diperkukuhkan demi mencapai matlamatnya menerokai pelbagai peluang untuk mengeratkan hubungan yang sedia ada.

    Pada masa yang sama, katanya, Brunei juga sedang memasuki mercu tanda yang amat menarik untuk mencapai matlamat kepelbagaian ekonomi dan integrasi serantau di mana pelbagai peluang baru boleh diterokai demi mencapai matlamat kedua-dua buah negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan datin memotong kek bersama Loan Forgeron Sempena Resepsi Hari Kebangsaan Perancis. – Gambar Muiz Matdani
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan datin memotong kek bersama Loan Forgeron Sempena Resepsi Hari Kebangsaan Perancis. – Gambar Muiz Matdani

    Beliau berkata, pihaknya akan terus menggalakkan pelaksanaan usaha sama di antara syarikat-syarikat Brunei dan Perancis termasuk dalam bidang agri-perniagaan, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pertahanan, yang mana keutamaan yang ditekankan adalah bagi perkongsian ilmu pengetahuan dan pertukaran teknologi.

    Hubungan Brunei dan Perancis tidak hanya terhad kepada bidang perniagaan serta pertukaran kemahiran sahaja tetapi ia juga meliputi pertukaran kebudayaan.

    Dalam ucapannya lagi, Loan Forgeron juga menyatakan penghargaan kepada penduduk Brunei atas sikap ramah dan talian persahabatan yang terus mesra di antara penduduk kedua-dua buah negara.

    Majlis diteruskan dengan acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan datin serta Loan Forgeron yang diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Dato dan datin.

    Majlis diserikan lagi dengan pelbagai hidangan Perancis yang disediakan khas untuk majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda