Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Dean Kassim
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Sempena Hari Kemerdekaan ke-241 Amerika Syarikat (AS), Duta Besar AS ke Brunei Darussalam telah menghoskan acara bertema ‘Hawaii – Spirit of Aloha’ di Dewan Besar Indera Samudra di Empire Hotel & Country Club, Jerudong, di sini, malam ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan datin.
Juga hadir ialah para pegawai kerajaan, ahli-ahli komuniti diplomatik, eksekutif perniagaan, wakil media dan jemputan lain.
Duta Besar AS, Craig Allen dalam ucapannya ringkasnya di majlis itu telah menyatakan mengenai persamaan antara Hawaii dan Brunei.
“Seperti Brunei, Hawaii mempunyai budaya yang ramah dan mesra serta sangat bagus dalam mengalu-alukan pengunjung dan membuat mereka merasa seperti di rumah.
“Pada hari ini orang bercakap mengenai perbezaan kami, saya rasa ia adalah penting untuk menumpukan pada kebersamaan kita. Tidak kira bangsa, agama, politik, atau lokasi kita, pada asasnya kita memegang nilai-nilai yang sama, seperti belas kasihan dan rasa hormat.”
Duta Besar AS berkenaan juga memuji hubungan persahabatan mendalam yang dimiliki antara AS dan Brunei selama beberapa dekad.
“Kami telah menjadi rakan kongsi perjanjian sejak 1850, 172 tahun yang lalu. Kami telah membina hubungan kami selama bertahun-tahun dan kami berbangga dengan kerjasama kami,” ujarnya.
Dalam ucapannya lagi, beliau juga meninjau semula beberapa kerjasama antara kedua-dua negara yang berkongsi dalam sektor-sektor berbeza sepanjang tahun lalu termasuk dalam latihan ketenteraan, memerangi pemerdagangan manusia, melibatkan komuniti tempatan Brunei, penglibatan rakyat melalui program utama seperti Fulbright dan melalui Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).
Menurutnya lagi, hubungan perdagangan dan ekonomi AS-Brunei berkembang dengan ketara pada tahun 2016 yang mencapai tahap tertinggi baru.
Sebagai hadiah penghargaan, Allen menyampaikan cenderahati berupa ‘Leiomano’, peralatan tradisi Hawaii yang dihiasi dengan gigi ikan yu, kepada tetamu kehormat.
Acara itu diserikan dengan persembahan istimewa oleh kumpulan yang berpangkalan di Brunei, Hawai’iFever. Lagu kebangsaan AS dan Brunei Darussalam telah dinyanyikan oleh Maria Grace Koh.