Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Resepsi Hari Kemerdekaan ke-245 AS

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan perayaan Hari Kemerdekaan ke-245 AS dengan tema The Great American West di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
    Majlis dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku tetamu kehormat di samping pegawai-pegawai kerajaan Brunei, eksekutif-eksekutif perniagaan, pemimpin masyarakat awam dan tetamu undangan yang lain.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Chargé d’Affaires, Emily M. Fleckner bercakap mengenai hubungan berpanjangan antara AS dan Brunei sejak penandatanganan Perjanjian Damai, Persahabatan, Perdagangan dan Navigasi pada 1850, yang masih terjalin hingga ke hari ini.

    Beliau turut menyatakan perasaan optimis untuk pemulihan pasca pandemik, dengan mengatakan bahawa AS memimpin peperangan melawan COVID-19 di seluruh dunia walaupun kehidupan di sana kembali normal di bawah kempen vaksinasi yang berjaya.

    “Kami telah membuka kembali kepada pelajar universiti dari Brunei, dan hari semakin dekat apabila kami akan meneruskan pelbagai program pertukaran yang telah membawa beratus-ratus orang Brunei ke AS dan membuat begitu banyak hubungan antara penduduk kedua-dua negara,” ujarnya.

    Fleckner juga menyentuh mengenai kekukuhan perkongsian pertahanan AS dan Brunei serta hakikat bahawa Brunei adalah salah satu daripada dua negara di rantau ini yang menikmati perjalanan tanpa visa ke AS untuk pelancongan dan perniagaan. Beliau juga mengulang komitmen pentadbiran Presiden Joe Biden untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mendorong inovasi tenaga bersih untuk menangani masalah perubahan iklim.

    Pada majlis itu, Emily M. Fleckner menyampaikan cenderahati replika kaca kaktus saguaro, lambang Barat Amerika dan simbol kebijaksanaan dan daya tahan, kepada kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti sebagai tanda penghargaan. Terdahulu, acara telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei Darussalam dan AS oleh pelajar-pelajar Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), Celine Onn Jia Yi dan Isabelle Anne Sim Li Ying.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bersama Emily M. Fleckner semasa upacara memotong kek bersempena dengan perayaan Hari Kemerdekaan ke-245 AS. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda